Satu kunjungan hormat delegasi ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah diadakan ke Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Putrajaya bertemu First Secretary , Encik Mohd Aizul Hakim Pehin OKIP Dato Seri Setia Haji Suyoi, wakil Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia, H.E. Dato Mahmud Saidin pada hari ini (11 Ogos 2025).
Negara Brunei sebagai salah sebuah negara anggota ASEAN dan OIC diharap dapat sama-sama menjayakan inisiatif penubuhan Kesatuan Koperasi OIC (OIC-CU) yang sedang diusahakan oleh ANGKASA dan ASEAN Cooperative Organization (ACO).
Menurut Datuk Seri. Dr. Abdul Fattah Abdullah lagi, Resolusi ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025) juga diharap mendapat sokongan pihak Encik Mohd Aizul Hakim Pehin untuk diketengahkan kepada Kerajaan Brunei.
Katanya lagi, Perdana Menteri Malaysia dijangka akan memperjuangkan agenda koperasi pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang. Justeru, ANGKASA berharap resolusi tersebut akan mendapat perhatian Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
OIC-CU kini dalam proses penubuhan dan matlamatnya adalah untuk mencipta platform yang kuat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat merentasi dunia Islam melalui model koperasi.
Rangkaian tersebut diharap dapat memupuk perkongsian dengan Institusi Kewangan Islam dan mendapat pengiktirafan dasar dalam rangka kerja OIC.
Perkongsian Brunei sebagai pemimpin dalam dunia Islam akan memberikan momentum yang diperlukan untuk mengubah visi menjadi realiti.
Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim dan Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.



