Pelajar diseru supaya mengambil peluang menimba pengalaman baharu dan memanfaatkannya sepanjang tempoh bersama keluarga angkat masing-masing di FELDA Air Tawar 5 Johor.
Pengalaman menguruskan ladang sawit dan bergaul dengan komuniti diharap dapat memberi manfaat yang berguna kepada kehidupan dan karier mereka pada masa akan datang.
Demikian diucapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip yang mewakili Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Inspirasi Pelajar Tajaan Bersama Keluarga Angkat Komuniti FELDA & Karnival Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2025. Program tersebut berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Air Tawar 5 pada 12 September 2025.
“Pengalaman keemasan berada dalam kalangan komuniti FELDA itu tidak sama dengan pengalaman kehidupan di bandar mahupun di kawasan kampung. Justeru, ilmu dan perkongsian cara hidup di FELDA diharap dapat dimanfaatkan untuk karier dan bidang keusahawanan yang diceburi.” ujarnya.
Menurutnya lagi, silaturrahim antara pelajar dan keluarga angkat juga sebaiknya diteruskan walaupun pelajar sudah pulang ke kampus dan keluarga masing-masing.
Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pada tahun 2025, seramai 100 pelajar tajaan Yayasan ANGKASA dari pelbagai universiti awam telah melibatkan diri dalam Program Inspirasi Berkonsepkan Bersama Keluarga Angkat Komuniti Felda Wilayah Johor Bahru FELDA Air Tawar 5.
Katanya, program tersebut bertujuan untuk mendedahkan pelajar mengenai cara hidup seharian selain mempelajari kejayaan peneroka dalam aktiviti keusahwanan.
Program itu juga boleh memberi ruang kepada pelajar untuk berkongsi aspirasi dan matlamat bersama khususnya dalam melahirkan generasi FELDA yang cemerlang dengan penglibatan langsung komuniti FELDA melalui aktiviti pendidikan, ziarah kasih dan sukan rakyat.
Kali ini, sebahagian aktiviti yang disusun untuk pelajar dan komuniti FELDA adalah seperti Majlis Perasmian Pembukaan Program Inspirasi Pelajar Tajaan Bersama Keluarga Angkat Komuniti FELDA & Keluarga Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2025, Ladang Sawit Fun Run, Ziarah Kasih melalui sumbangan kepada mereka yang memerlukan, Selawat dan Ceramah Perdana Sempena Maulidur Rasul, Sukan Rakyat Bersama Komuniti FELDA dan Majlis Penutup Program Inspirasi Pelajar Karnival Pendidikan Dalam Majlis Makan Malam.
Sebanyak 50 keluarga angkat komuniti FELDA Air Tawar 5 yang terlibat telah menerima sumbangan tunai dan bakul makanan asas dan baucer pembelian Mywasiat, Myhibah serta Myaset pilihan pasangan sumbangan MyANGKASA Amanah Berhad.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA iaitu Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad, Dato Fahrol Rahman Ahmad dan Datuk Rosni Haji Zahari, Pengarah FELDA Wilayah Johor Bahru, Encik Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab, Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abd Hamid, Ketua Peneroka FELDA Air Tawar 5, Encik Isa Mahad dan Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad.













