Program Inspirasi Pelajar Yayasan ANGKASA Bersama Keluarga Angkat Komuniti FELDA telah diraikan dalam Majlis Makan Malam Sesi 2025. Majlis tersebut disempurnakan oleh ADUN Penawar, Puan Fauziah Misri yang mewakili Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Seri Azalina Othman Said.
Beliau dalam ucapannya berkata, program tersebut adalah satu usaha yang cukup baik dan pelajar juga dapat merasai sebuah pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu yang sangat bermakna.
“Saya berharap para pelajar ini setelah tamat pengajian mungkin sebahagiannya boleh menjadi keluarga besar koperasi dengan bekerja di bidang koperasi atau menyumbangkan pengetahuan bagi pembangunan koperasi amnya dalam meningkatkan pendapatan KDNK negara melalui aktiviti perniagaan koperasi atau mewujudkan koperasi di komuniti masing-masing,” ujarnya.
Katanya lagi, pelajar perlu lebih kreatif dalam menentukan masa hadapan masing-masing dan boleh juga menjadi usahawan sebagai sumber utama pendapatan.
Gerakan koperasi berperanan besar serta potensi untuk terus berkembang dalam memenuhi tuntutan ekonomi dan sosial rakyat termasuklah menangani isu berkaitan kos sara hidup, inflasi, stok dan keselamatan makanan.
Tambahnya lagi, pelajar juga perlu menjadi contoh yang baik kepada golongan belia kerana bukan mudah bagi ibubapa, masyarakat dan pemimpin hendak mengawal golongan belia kerana mereka sentiasa agresif dan mempunyai pandangan sendiri dalam sesuatu tindakan.
Pelajar juga dinasihatkan supaya memainkan tanggungjawab memastikan kejadian buli yang berleluasa dapat ditangani dengan baik terutamanya di pusat pengajian tinggi masing-masing.
Terdahulu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, program yang telah dijalankan sepanjang empat hari itu merupakan satu manifestasi kepedulian bersama untuk membimbing dan menyokong anak-anak warga koperasi agar lebih berkeyakinan, cemerlang dalam akademik dan mempunyai hala tuju yang jelas untuk masa depan.
“Melalui Program Inspirasi Pelajar yang berkonsepkan Keluarga Angkat Komuniti FELDA, Yayasan ANGKASA berjaya menghubungkan para pelajar dengan komuniti setempat. Karnival Pendidikan Yayasan juga berjaya menghimpunkan aktiviti berbentuk akademik malah turut diperkaya dengan pelbagai pengisian yang mampu memupuk sahsiah dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti FELDA dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat besar,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pelajar, Haqeem Akhnaz berkata, walaupun bertemu dalam masa yang singkat tetapi rasa mesra dengan keluarga angkat masing-masing seperti telah bertahun bersama. Mereka diterima oleh keluarga yang sederhana namun berhati besar.
Mereka belajar erti syukur dan sangat menghargai kenangan itu yang akan kekal segar dalam ingatan dan mohon didoakan berjaya dunia dan akhirat.
Majlis makan malam diserikan dengan persembahan Tarian Sewang dan Tarian Kebudayaan pelajar sekolah dan diteruskan dengan Sesi Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA oleh Koperasi-koperasi Negeri Johor termasuk Sesi Penyampaian Penghargaan kepada agensi, persatuan yang terlibat menjayakan program tersebut.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Syed Azmi Ahmad, Syed Nazir Ahmad, Dato’ Fahrol Rahman Ahmad dan Datuk Rosni Haji Zahari, Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abd Hamid, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) Datuk Haji Md. Yusof Samsudin, Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad dan Pengurus Besar Bahagian Koporat ANGKASA, Encik Halim Ibrahim.

















