Usaha memperkasakan kemahiran keusahawanan perlu diberi sokongan supaya golongan wanita mampu menjana pendapatan sendiri.
Menerusi program kemahiran yang dijalankan, wanita dapat membina kemahiran dan mengembangkan penyertaan terutamanya dalam ekonomi digital selaras dengan perkembangan ekonomi berasaskan teknologi digitalisasi.
Demikian ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada Majlis Perasmian Penutupan Program Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita Sabah 2025 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Oktober 2025.
Justeru katanya, agensi-agensi KUSKOP seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), SME Bank termasuk Bank Rakyat perlu sentiasa menyampaikan maklumat dan memberi latihan yang diperlukan.
Bimbingan dan maklumat berkait akan membantu perkembangan koperasi dan usahawan wanita, seterusnya menyokong pencapaian objektif Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) 2030 dan Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030.
“Pelbagai kemudahan disediakan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, antaranya seperti kemudahan akses kewangan seperti Bantuan Pembangunan Koperasi di bawah SKM iaitu Geran Bantuan Pembangunan Koperasi sehingga RM300,000.00 dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM sehingga RM300 juta dengan pematuhan kriteria yang tertentu.”’ tambahnya lagi.
Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 33 buah koperasi wanita telah berdaftar di Sabah melibatkan seramai 1,412 anggota dengan syer terkumpul sebanyak RM674,000.00 dan mencatatkan jumlah perolehan keseluruhan sebanyak RM1.33 juta.
Sementara itu, 1,994 buah koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 376,559 orang, dengan syer dan yuran terkumpul sebanyak RM273 juta, aset terkumpul bernilai RM1,008 juta termasuk pencapaian perolehan sebanyak RM774 juta di Negeri Sabah.
Katanya lagi, Negeri Sabah mencatat jumlah tertinggi koperasi wanita berdaftar di seluruh Malaysia. Angka tersebut jelas memperlihatkan potensi besar koperasi wanita sebagai penyumbang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. (KDNK).
Majlis perasmian itu diakhiri dengan penyerahan cek cura Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjumlah RM334,500.00 dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM berjumlah RM200,000.00 kepada koperasi di Negeri Sabah.
Hadir dalam program itu ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr Zhamriee Gulamrasul, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Encik Azizul Alias, dan Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor.





















