Usaha memperkukuh pentadbiran dan pengurusan di peringkat pusat dan negeri menjadi keutamaan ANGKASA bagi memastikan tata kelola organisasi diperkemas dan diperincikan.
Bagi merealisasikan hasrat agar ANGKASA terus teguh di barisan hadapan dalam memperkasa gerakan koperasi negara, satu Bengkel Pemurnian Draf Aturan ANGKASA, Taklimat Undang-Undang Kecil dan Garis Pandun Pentadbiran dan Pengurusan (G3P) Pejabat ANGKASA Negeri Tahun 2025 telah diadakan di Subang Jaya, Selangor pada 4 Jun 2025.
Bengkel selama dua hari itu telah disertai oleh seramai 46 orang yang terdiri daripada barisan Anggota Lembaga ANGKASA, barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan, Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) ANGKASA, barisan pengurusan kanan ANGKASA, barisan Penasihat Korporat ANGKASA, Pengurus Besar/Pengurus Kanan serta Pengurus/Penolong Pengurus.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika menyempurnakan majlis penutupan bengkel berharap agar bengkel tersebut menjadi platform terbaik untuk menilai, menambah baik dan memurnikan Draf Aturan ANGKASA serta Garis Panduan Pentadbiran dan Pengurusan (G3P) agar lebih tersusun, lengkap dan selari dengan keperluan semasa gerakan koperasi negara.
Katanya, segala pandangan, idea serta cadangan yang dikemukakan diharap dapat memenuhi keperluan pentadbiran ANGKASA yang lebih sistematik dan berkesan.
“Perbincangan yang berlangsung sepanjang bengkel ini diharap dapat menghasilkan keputusan yang konstruktif dan bermanfaat, di samping menjadi panduan yang praktikal dan boleh dilaksanakan di setiap peringkat pengurusan ANGKASA dan negeri.
Saya yakin dengan adanya aturan serta garis panduan yang jelas, teratur dan lengkap, segala urusan pentadbiran serta pengurusan di pejabat ANGKASA Negeri menjadi lebih cekap dan sistematik, seterusnya memperkukuh peranan ANGKASA membantu anggota koperasi seluruh negara,” ujarnya.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil KUSKOP), Encik Azizul Alias dan Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil Kementerian Kewangan), Encik Ezleezan Othman dan barisan pengurusan kanan ANGKASA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.