Institusi koperasi bukan sekadar memenuhi keperluan ekonomi semata-mata bahkan berperanan sebagai sekolah demokrasi, wadah pemberdayaan sosial, dan jambatan solidariti antara masyarakat serta negara.
Kesemua elemen tersebut sewajarnya dipertahankan sebagai membuktikan identiti koperasi memiliki kekuatan dalam membina komuniti yang kukuh, ekonomi yang lebih berdaya tahan dan dunia yang lebih adil.
Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden International Cooperative Alliance – Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyatakan, dengan berpegang pada nilai koperasi serta mengamalkan tadbir urus yang baik, koperasi dapat terus diperkukuh, telus dan mampan.
Beliau yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) mahu mengajak komuniti koperasi dunia membawa identiti koperasi dengan penuh bangga dan percaya bahawa apabila masyarakat bersatu di bawah satu identiti bersama, mereka memperoleh keyakinan dan kemampuan untuk membentuk masa depan sendiri.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian ketika merasmikan Program 2nd Series of the International Cooperative Training bertempat di Putrajaya pada 24 September 2025.
Program yang berlangsung pada 23-27 September 2025 itu menyaksikan seramai 36 peserta terdiri daripada kementerian, agensi dan pemimpin koperasi dari sekitar Asia Pasifik termasuk Filipina, Thailand, Vietnam dan Palestin menyertai sesi kedua tersebut.
Sesi latihan antara lain bermatlamat memupuk pembangunan komuniti melalui pendidikan koperasi, pelancongan, serta pertukaran pengalaman antara koperasi sebagai meraikan kepelbagaian persekitaran budaya antara negara selain menukar pengetahuan kepada inovasi.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Kamarudin Ismail.




























