Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Berhad yang ditubuhkan pada tahun 2019 bertujuan untuk memberi kemahiran, latihan dan memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai anggota Orang Kurang Upaya (OKU) dalam bidang jahitan atau kraf tangan berasaskan kain batik.
Menerusi matlamat tersebut, koperasi menyasarkan peningkatan jumlah individu OKU yang mahir dalam bidang jahitan sekali gus membantu mereka untuk menjana pendapatan selain membantu meluaskan pasaran produk yang dihasilkan sehingga ke peringkat lebih jauh melalui platform koperasi.
Antara produk yang menjadi perhatian adalah beg batik yang dihasilkan daripada kain batik Terengganu. Setiap beg akan dihasilkan dengan corak yang berlainan secara kraf tangan oleh pelatih OKU. Terkini, koperasi menggunakan mesin penekan haba bagi menggantikan seterika dalam pembuatan lapik dalam beg atau topi.
Menerusi penggunaan mesin tersebut, koperasi boleh menghasilkan sehingga 1,000 beg dalam masa dua minggu. Pengerusi koperasi, Encik Zakaria Salleh berharap agar lebih banyak jaringan dapat diwujudkan di peringkat antarabangsa terutamanya dalam memartabatkan penghasilan produk batik oleh golongan OKU di samping mempromosikan produk beg batik asli Terengganu yang merupakan warisan tradisional.
Sementara itu menurut Bendahari koperasi, Puan Suhaila Muhammad, guru-guru yang melatih adalah seramai 40 orang yang juga merupakan anggota koperasi dan kakitangan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang. Pelatih OKU diberi tunjuk ajar menguruskan diri di samping dilatih untuk bekerja hasil sokongan pihak kraf tangan dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pihak koperasi juga menjalin kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Kraf Tangan Terengganu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik dan JKM selain menerima tempahan beg dari syarikat-syarikat korporat.
Hasil tangan anggota OKU juga turut dipamerkan dalam pameran besar anjuran Kraf Tangan Malaysia seperti Hari Kraf Kebangsaan dan juga Pesona Kraf di Kompleks Conlay, Kuala Lumpur selain bekerjasama dengan pihak Malaysian Airline System (MAS) dengan menghantar produk secara berkala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA).
Koperasi turut menerima tempahan secara pukal dan berkala daripada pihak kerajaan dan swasta seperti Batek Village, Inkaa Clothing, Saetru UMT, Usaha Jana Sdn. Bhd., Bank Islam, SME Corp, Yayasan Pembangunan Usahawan dan JKM.
Menurut beliau, waktu bekerja juga adalah fleksibel bergantung kepada tahap kesihatan dan emosi pekerja OKU. Apabila menerima tempahan yang berskala besar daripada pelanggan, koperasi akan mengagihkannya juga kepada PDK dari daerah lain seperti PDK Mutiara Kasih, PDK Hulu Terengganu, PDK Bandar Marang, PDK Bukit Payung dan PDK Merchang.