Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIProgram SejaTi MADANI Bantu Tingkat Kemudahan Koperasi Homestay Bukit Kuda Labuan Berhad

Program SejaTi MADANI Bantu Tingkat Kemudahan Koperasi Homestay Bukit Kuda Labuan Berhad

Koperasi Homestay Bukit Kuda Labuan Berhad kini mempunyai daya tarikan baharu dalam perkhidmatannya menerusi dua projek iaitu menaiktaraf kemudahan homestay serta penyediaan empat unit beca berhias bermotor hasil manfaat peruntukan RM100,000.00 yang diterima di bawah Program SejaTi MADANI (Koperasi Luar Bandar).

Naik taraf tersebut sangat penting bagi meletakkan nama Homestay Bukit Kuda Labuan Berhad lebih dikenali sekali.gus membuktikan komitmen tinggi koperasi yang mahu merealisasikan projek tersebut terus maju di samping dapat memelihara nilai budaya berasaskan agro pelancongan yang digerakkan sepenuhnya oleh komuniti sekitar.

Demikian dinyatakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu berucap di Majlis Peluncuran Projek Homestay Kampung Koperasi Homestay Bukit Kuda Labuan Berhad Bagi Program Sejati Madani (Koperasi Luar Bandar) bertempat di Tapak Projek, Balai Raya Kampung Bukit Muda, Simpang Dawar, Kampung Bukit Kuda, Labuan, Sabah pada 14 Februari 2026.

Katanya, pendekatan baharu itu juga dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami kehidupan masyarakat kampung melalui pengalaman sebenar yang dibangunkan oleh penduduk sendiri.

“Kegiatan ekonomi komuniti di kampung ini turut disokong oleh penghasilan minyak kelapa dara, mee lidi serta penternakan cendawan tiram yang menjadi sumber pendapatan setempat.” ujar beliau.

Aktiviti pelancongan yang dirancang membolehkan pengunjung melihat sendiri proses pengeluaran produk serta penglibatan komuniti dalam menjana ekonomi.

Menurutnya pengalaman pelancong turut diperkaya melalui program interaksi komuniti, sekali gus membuatkan koperasi itu mendapat pengiktirafan apabila Kampung Bukit Kuda menerima Anugerah “Kampung Cemerlang” di peringkat Labuan dan Kebangsaan.
SejaTi MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi komuniti melalui bantuan kewangan antara RM50,000 hingga RM100,000.

Program ini diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

ANGKASA sebagai badan koperasi kebangsaan memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan projek koperasi di bawah SejaTi MADANI berjalan secara tersusun dan berimpak.

Sokongan dari segi bimbingan serta pembangunan kapasiti menjadi elemen penting dalam memastikan kelangsungan projek.

Projek ini dirancang bagi memperkukuh sumber pendapatan yang kini memiliki lebih 30 unit bilik homestay yang digunakan untuk menerima pelancong. Usaha menaiktaraf kemudahan memberi peluang kepada koperasi meningkatkan mutu perkhidmatan dan memperluas pasaran pelancongan komuniti di Labuan.

Beliau juga berharap agar pihak koperasi dapat mengurus dan melaksanakan projek ini sebaik mungkin agar manfaatnya dapat dinikmati oleh anggota koperasi dan seluruh komuniti setempat selain menjadi pemacu ekonomi rakyat dengan memberi peluang pekerjaan dan pengukuhan jaringan komuniti selaras dengan aspirasi kerajaan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MyANGKASA Travel & Tours Sdn Bhd, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamrie Gulamrasul, Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Unit Pembangunan Prasarana, Pelesenan dan Penguatkuasaan MOTAC Labuan, Encik Ali Rahim Brahim, Pengurus Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Labuan, Encik Azmaniansyah Bachok dan Pengerusi Koperasi Homestay Bukit Kuda Labuan Berhad, Encik Madzan Haji Yunus.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine