Thursday, October 16, 2025
HomeAKTIVITIPupuk Generasi Muda Cintakan Budaya Warisan Tempatan Melalui Koperasi

Pupuk Generasi Muda Cintakan Budaya Warisan Tempatan Melalui Koperasi

Koperasi boleh membantu dalam memupuk semangat cintakan warisan tempatan khususnya kepada generasi muda melalui aktiviti yang dianjurkan.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, keunikan adat resam dan budaya tempatan boleh dijadikan sebagai pakej pelancongan untuk pelajar dalam dan luar negara kerana pakej tersebut memiliki daya tarikan tersendiri.

Selain itu katanya, konsep Hos dan Tamu yang digerakkan melalui koperasi sekolah dapat membantu memperkukuh semangat perpaduan melalui pengalaman langsung sekali gus menyemai kefahaman mengenai adat resam tempatan dan warisan masyarakat.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Koperasi SMK Seremban Jaya Berhad atas inisiatif yang sangat bermakna dalam memperkasakan generasi muda melalui pelancongan koperasi sekolah serta memberikan penekanan terhadap pembangunan budaya, pendidikan dan komuniti menerusi pakej pelancongan yang dikendalikan.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Program Antarabangsa ‘Menelusuri Adat Menghayati Warisan’ anjuran bersama ANGKASA Negeri Sembilan dan Koperasi SMK Seremban Jaya Berhad bertempat di Homestay Lonek, Jempol, Negeri Sembilan pada 28 September 2025.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah barisan Ahli Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sembilan yang diketuai Pengerusinya, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Penolong Pejabat Pendidian Daerah (PPD) Jempol dan Jelebu, Puan Jamaliah Ahmad dan Pengetua SMK Seremban Jaya merangkap Pengerusi Koperasi SMK Seremban Jaya Berhad, Tuan Mohd Said Mohamed Kassim.

Program tersebut dibuat dengan kolaborasi bersama Koperasi Siswa USIM Berhad, Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Gugusan Raya Berhad, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuching Tengah Berhad dan Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad.

Seramai 51 pelajar tempatan dan 10 pelajar luar negara dari USIM Alammiyah terlibat sebagai Tamu dalam program selama dua hari itu bermula 27 September 2025.

Antara pengisian program termasuklah pertandingan sukan rakyat, persembahan kebudayaan, demonstrasi pembuatan Penganan dan Emping serta lawatan ke beberapa rumah adat serta lokasi bersejarah sekitar Negeri Sembilan.

Sebelum pulang, pelajar dibawa melawat ke Laman Herba dan Taman Kelulut milik Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Gugusan Bayai Jempol Berhad di Serting Ulu, Jempol.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine