Thursday, October 16, 2025
HomeAKTIVITI'Rasa Melaka by ANGKASA' Jadi Tarikan Baharu Pelancongan Negeri Melaka

‘Rasa Melaka by ANGKASA’ Jadi Tarikan Baharu Pelancongan Negeri Melaka

ANGKASA memperkenalkan ‘Rasa Melaka by ANGKASA’, sebuah projek rintis yang dijangka menjadi tarikan baharu di Jalan Hang Kasturi, berhampiran Jonker Walk, kawasan tumpuan pelancong dalam tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus merancakkan sektor pelancongan negeri bersejarah itu menerusi elemen gastronomi, keunikan budaya dan sejarah Melaka serta keusahawanan koperasi.

EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, YB Tuan Allex Seah Shoo Chin berkata, inisiatif itu bertepatan dengan penganjuran World Tourism Day 2025 (Hari Pelancongan Sedunia) pada 27 hingga 29 September 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026 di negeri tersebut.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran ‘Rasa Melaka by ANGKASA’ di Jalan Hang Kasturi, Melaka pada 23 September 2025.

“Rasa Melaka akan memberi peluang kepada pengunjung dalam dan luar negara untuk menikmati keunikan negeri ini. Seperti yang kita tahu, lokasi seperti Stadthuys dan Jonker Walk telah lama menjadi nadi utama tarikan pelancongan di Melaka,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut menerima peruntukan tambahan berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun ini.

Dana itu bukan sahaja disalurkan kepada koperasi kariah masjid, malah membantu koperasi mikro memperoleh peralatan, akses modal serta melaksanakan pelbagai program pengukuhan ekonomi koperasi bagi meningkatkan taraf mereka daripada kategori mikro ke kecil, seterusnya daripada kecil ke sederhana.

Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya berkata, ‘Rasa Melaka by ANGKASA’ dilaksanakan melalui kerjasama dengan ANGKASA Negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Koperasi Keluarga Hajah Che Me Melaka Berhad, Koperasi Abang Beca Melaka Berhad, Koperasi SM Ghafar Baba Masjid Tanah Berhad dan Koperasi Gabungan Kariah Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad, di samping produk asnaf MAIM dan koperasi lain sebagai usaha menjayakan perniagaan baharu ANGKASA itu termasuk penyewaan studio podcast.

“Menerusi projek ini, ANGKASA berhasrat bukan sekadar menyediakan sebuah kafe, malah sebuah ruang warisan dan identiti Melayu Melaka, tempat di mana pelancong dan rakyat tempatan dapat menyelami kembali sejarah serta keindahan budaya silam sambil menikmati rasa tradisi yang unik,” jelasnya.

Turut berlangsung adalah sesi podcast yang menampilkan YB Tuan Allex dan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah sebagai tetamu jemputan serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd. Jalil sebagai moderator.

‘Rasa Melaka by ANGKASA’ menampilkan kafe dengan hidangan tradisional era Kesultanan Melayu Melaka seperti Nasi Lemak Puteri Hang Li Poh, Asam Pedas, Onde-onde, Cendol, Kuih Keria, Sate, Nasi Impit dan pelbagai juadah lain bersama kopi kampung, selain menawarkan perkhidmatan beca di sekitar Jonker Walk dan Bandaraya Melaka melalui kolaborasi dengan Koperasi Abang Beca Melaka Berhad.

Projek itu juga menyediakan pakej yang membolehkan pelancong menyewa busana tradisional untuk bergambar di enam lokasi khas, sementara tarikan lain termasuk ruang fotografi ala Melayu Melaka, demonstrasi masakan tradisional, pameran kraftangan serta perkhidmatan rakaman podcast.

Hadir sama ialah Timbalan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, YB Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hashim, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Encik Mustafa Kamal Mohd Nor, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Haji Abd. Hadi, Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Hartanah MAIM, Encik Feisol Asymi Osman dan Pengurus Pengauditan Pelancongan Bahagian Promosi Pelancongan Tourism Melaka, Encik Gangka Bhram.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine