Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijangka akan dibentangkan pada 28 Julai 2025 bakal menggariskan satu agenda khusus bagi memperkukuh pembangunan Sektor Koperasi secara lebih menyeluruh.
“Daripada taklimat awal kepada Jemaah Menteri, kita telah dimaklumkan tentang satu agenda dalam Rancangan Malaysia Ke-13 untuk membangunkan Sektor Koperasi dengan lebih baik lagi. Sektor Koperasi diberi sasaran hingga 2030 untuk menjana hasil perolehan gerakan koperasi sebanyak RM100 bilion,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Koperasi Kebangsaan 2025 (BKK’25) yang berlangsung di Putrajaya hari ini (19 Jun 2025).
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B).














“Mudah-mudahan gerakan koperasi bukan sahaja dapat menjana perolehan yang kita sasarkan ini malah juga dapat meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dapat membudayakan budaya korporat dalam gerakan koperasi tanpa mengabaikan atau dengan mengekalkan identiti koperasi yang kita mesti pertahankan,” jelas beliau.
“Saya optimis Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan dibawa ke Parlimen bulan hadapan dapat mencabar kita semua, terutama di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, untuk terus berganding bahu bersama agensi-agensi kita — SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), ANGKASA dan federasi-federasi koperasi — dalam membuktikan bahawa koperasi mampu menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian semasa gerakan koperasi di Malaysia yang merupakan hasil kerja keras pelbagai pihak.
“Dengan usia mencecah 103 tahun pada tahun ini, bilangan koperasi telah meningkat kepada 16,284 buah dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang. Selain itu, gerakan koperasi negara telah mencatatkan perolehan sebanyak RM68.1 bilion. Kejayaan koperasi menceburi pelbagai sektor ekonomi turut menyumbang kepada pengumpulan modal syer dan yuran berjumlah RM18.3 bilion serta penjanaan aset bernilai RM173.3 bilion,” ujarnya.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Puan Siti Azlin Ahmad Dauta, barisan kepimpinan ANGKASA yang diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Encik Azizul Alias.
Bulan Koperasi Kebangsaan disambut bersempena dengan Hari Koperasi Antarabangsa atau International Day of Cooperatives yang ditetapkan oleh International Cooperative Alliance (ICA) dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diraikan pada hari Sabtu pertama bulan Julai setiap tahun.
Sambutan itu bertujuan mengiktiraf serta menyemarakkan semangat kerjasama dan kekuatan kolektif masyarakat melalui platform koperasi, selain meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan berorganisasi secara koperasi dalam menghadapi cabaran semasa.
Diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan, Bulan Koperasi Kebangsaan turut menjadi manifestasi penghargaan terhadap sumbangan signifikan gerakan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara yang merangkumi pelbagai sektor dan lapisan masyarakat.
Sebanyak 20 program akan dilaksanakan sepanjang Julai ini sempena sambutan tersebut. Hari Koperasi Negara 2025 Peringkat Kebangsaan pula dijadual berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) dari 25 hingga 27 Julai 2025, dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.