Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026-2030 (RMK13) dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ merupakan tekad berterusan Kerajaan untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI.
Berperanan sebagai pelan pembangunan yang membolehkan Pemerkasaan Rakyat, Teras Utama RMK13 bermatlamat Menaikkan Lantai (Meningkatkan Darjat Hidup Rakyat), Memperkukuh Tatakelola Baik (Melaksana Reformasi Perkhidmatan Awam) serta Menaikkan Siling (Menstruktur Semula Ekonomi).
Tiga Asas yang melandasi RMK13 iaitu Menuju Negara Berteraskan Kecerdasan Buatan, Sistem Sosial Berteraskan Insan MADANI dan Negara Bangsa yang Berdaulat dan Bermaruah menjadi wadah dalam melakar semula pembangunan negara.
Demikian antara intipati yang terkandung di dalam dokumen RMK13 yang diterjemahkan di dalam Siri Bicara Minda Bil. 1/2026 bertajuk ‘RMK13 : Pemangkin Transformasi Koperasi Nasional’ bertempat di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, ANGKASA, Kelana Jaya, Selangor pada 26 Februari 2026.
Siri Bicara Minda yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Industri Perkhidmatan, Kementerian Ekonomi, Dr. Nassar Nordin itu berjaya menyebarkan maklumat menerusi penyampaian berkesan yang mengandungi kandungan ilmu bermanfaat khususnya dalam meletakkan sektor koperasi sebagai pemacu ekonomi mampan.
Menurut beliau, antara isu dan cabaran pembangunan sosioekonomi negara termasuklah cabaran rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian, cabaran pengurusan fiskal dan kelemahan tatakelola, tekanan produktiviti dan daya saing pengeluaran industri serta krisis kesihatan bumi.
Ujarnya, hala tuju strategi dan inisiatif berkaitan pembangunan ekosistem ekonomi sosial yang terkandung dalam RMK13 bukan sekadar meningkatkan tahap sosioekonomi dan pengagihan sumber yang optimum, malah bermatlamat mengarusperdanakan sektor ketiga iaitu memperkukuh daya tahan pemain sektor ketiga.
“Ini termasuk menetapkan 1,000 perusahan sosial diberi penarafan serta menyasarkan RM100 billion sumbangan perolehan koperasi sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di dalam RMK13.
Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan peranan gerakan koperasi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan menyeluruh.
Dalam ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan di atas perkongsian bermanfaat yang mengandungi input berkaitan peluang ekonomi dan peruntukan dana yang boleh dimanfaatkan oleh ANGKASA dan gerakan koperasi.
Jelasnya, sebagai rakan strategik pembangunan negara, gerakan koperasi yang dipayungi oleh ANGKASA memainkan peranan signifikan dalam memperkasa ekonomi rakyat. Ini kerana RMK13 menjadi platform strategik untuk mentransformasikan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan baharu (new growth driver).
“Saya mengharapkan setiap kumpulan yang terlibat mengambil tindakan susulan untuk mendapatkan peruntukan daripada agensi selain Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang sesuai dengan cadangan projek selari dengan dasar yang telah ditetapkan RMK13,” katanya.
Program yang diadakan secara hibrid itu telah menyaksikan penyertaan secara fizikal seramai 40 orang warga kerja terdiri daripada barisan kumpulan pengurusan ANGKASA, Yayasan ANGKASA, Yayasan Infaq ANGKASA dan Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) hadir dalam program ilmiah anjuran Pusat Kecemerlangan ANGKASA (PKA) Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA.
Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Kumpulan ANGKASA, Dato’ Shaharudin Mohd Sa’ad, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ANGKASA, Encik Mohd Ismail Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Kumpulan ANGKASA dan barisan Pengurus Besar Kanan Kumpulan.






























