ANGKASA melalui Jawatankuasa Teknikal Koperasi Sekolah 2026 telah mengadakan Bengkel Pembangunan Perniagaan di Port Dickson, Negeri Sembilan bermula 27 hingga 28 Februari 2026 bagi membincangkan mengenai hala tuju strategik perniagaan koperasi sekolah yang baharu.
Bengkel tersebut yang menghimpunkan barisan kepimpinan koperasi sekolah serta wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bahagian Pendidikan dan Teknik Latihan Vokasional (BPLTV) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) setiap negeri telah dirasmikan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa koperasi sekolah perlu bergerak selari dengan perubahan dasar pendidikan dan persekitaran ekonomi semasa.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh koperasi sekolah terus relevan, mampan dan berdaya saing di pasaran.
Dato’ Haji Kamarudin juga turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan dan pegawai kanan atas kehadiran mereka ke bengkel tersebut yang mencerminkan komitmen padu bagi bersama-sama memperkasa pembangunan koperasi sekolah di peringkat nasional.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Negeri Sembilan, Puan Hajah Noorizan Abd Latif dalam ucapannya turut menzahirkan komitmen negeri dalam menyokong pembangunan koperasi sekolah secara lebih tersusun melalui jaringan kerjasama strategik bersama agensi pusat dan negeri.
Antara pengisian utama bengkel adalah taklimat daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM yang menjelaskan perubahan beberapa peraturan berkaitan permohonan aktiviti koperasi sekolah bagi memastikan proses kelulusan lebih tersusun dan mematuhi garis panduan semasa.
Seterusnya, wakil Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional membentangkan perkembangan koperasi Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Teknik (ST) bagi tahun 2026, termasuk inisiatif memperkukuh model perniagaan berasaskan bidang kemahiran.
Bengkel tersebut juga turut diisi dengan sesi taklimat daripada wakil Majlis Amanah Rakyat berhubung pencapaian dan kejayaan koperasi MRSM yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dari segi tadbir urus dan keuntungan.
Selain itu, Bahagian Pendidikan dan Perniagaan ANGKASA membentangkan laporan perkembangan program tahun 2025, perancangan strategik 2026, pengukuhan jaringan perniagaan koperasi sekolah serta pembentangan Program Semarak Keusahawanan Koperasi Sekolah dan Siswa (SUKSES) serta Laporan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) sebagai penanda aras peningkatan prestasi koperasi sekolah di seluruh negara.
Turut hadir ialah Pengerusi JKAN Kelantan merangkap Anggota Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi), Tuan Haji Wan Mohamad Zain Wan Abdullah, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM, Tuan Haji Hafiz Ridhuan Md Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM), MARA,
Encik Muhamad Hafiz Ahmad Nasir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, Puan Noorzalina Zainal Abidin serta Pengurus Seksyen Pendidikan, Bahagian Pendidikan dan Perniagaan, Kumpulan Pembangunan Koperasi, ANGKASA, Encik Abu Bakar Busmah.









