Pembangunan modal insan perlu seimbang daripada segi kesihatan, sahsiah dan kerohanian. Sukan rakyat merupakan satu platform bagi melatih minda, membentuk displin dan memupuk kerjasama sebagai pemimpin masa hadapan dengan jati diri yang teguh.
Demikian disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Penawar, Puan Fauziah Misri sewaktu berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sukan Rakyat Bersama Keluarga Angkat dan Komuniti FELDA Wilayah Johor Bharu di SK FELDA Air Tawar 5 pada 13 September 2025.
Beliau menghargai usaha Yayasan ANGKASA yang memilih FELDA Air Tawar 5 sebagai lokasi anjuran pada tahun ini. Penghargaan turut ditujukan kepada komuniti FELDA Air Tawar 5 dan Guru Besar SK FELDA Air Tawar 5.
“Program seumpama ini selari dgn hasrat agenda maju Johor yang menekankan pembangunan modal insan dan pengukuhan perpaduan.Sukan rakyat adalah cara yang bagus untuk mendekatkan pelajar dan komuniti daripada pelbagai peringkat umur”, ujar beliau.
Beliau percaya pelajar akan merasai kasih sayang dan menghargai nilai kehidupan dalam masyarakat. Ini juga membuka hati para ibu ayah angkat untuk menerima anak-anak daripada Yayasan ANGKASA sebagai ahli keluarga mereka.
Beliau berharap semoga program itu dapat meninggalkan kenangan manis dan pengalaman berharga kepada pelajar dan memahami betapa pentingnya pepaduan, kerjasama dan semangat muafakat.
Hadir sama ialah Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad, Dato’ Fahrol Rahman Ahmad, Datuk Rosni Haji Zahari, Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali, Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad dan para keluarga angkat.
Terdahulu, Ziarah Kasih Yayasan ANGKASA Prihatin bersama komuniti FELDA Air Tawar 5 diadakan di 10 buah rumah yang mempunyai ahli keluarga yang sakit, ditimpa musibah dan golongan asnaf.
Keluarga tersebut menerima sumbangan wang tunai, barang keperuan asas dan lampin pakai buang.Pada masa yang sama, permainan futsal berlangsung di dewan futsal FELDA Air Tawar 5 manakala permainan bola jaring turut berlangsung di padang SK FELDA Air Tawar 5.
Acara sukan rakyat yang dijalankan adalah seperti tarik tali, boling kelapa, kerusi muzik pra sekolah dan lari dalam guni. Aktiviti Jualan Rahmah turut berlangsung di SK FELDA Air Tawar 5, selain gerai pameran oleh MyANGKASA Bina, ECO, FGV , RedOne, Butang Emas Empire, Klinik Kesihatan FELDA Air Tawar 5 dan 20 gerai makanan dan minuman.
Pada sebelah malamnya, komuniti FELDA Air Tawar 5 disajikan dengan Ceramah Perdana Maulidur Rasul bertajuk ‘Meneladani Rasulullah Dalam Merancang Masa Depan’ yang disampaikan oleh Ustaz Azam AlKankari di Masjid FELDA Air Tawar 5.















