Tuesday, March 3, 2026
HomeKOPERASISumbangan Infaq Kit Pengurusan Jenazah Perkukuh Khidmat Fardu Kifayah

Sumbangan Infaq Kit Pengurusan Jenazah Perkukuh Khidmat Fardu Kifayah

Sumbangan Set Khairat Kematian merupakan satu inisiatif khas di bawah tabung infaq bagi memberi sokongan awal kepada waris ketika berdepan saat kehilangan. Bantuan berbentuk persediaan asas seperti ini juga boleh membantu melancarkan urusan pada waktu yang memerlukan tindakan segera.

Demikian disuarakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Set Khairat Kematian (Kit Jenazah) kepada Koperasi Masjid di Selangor bertempat di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, ANGKASA, Kelana Jaya pada 12 Februari 2026. 

Menurut beliau, program penyerahan Set Khairat Kematian ini merupakan inisiatif ANGKASA Selangor dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Sentuhan Kasih.

Sumbangan itu juga mencerminkan komitmen berterusan ANGKASA dalam memperkukuh fungsi sosial koperasi agar sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan masyarakat, khususnya dalam situasi yang memerlukan keprihatinan dan tindakan segera.

“Melalui program ini, koperasi masjid di Selangor dapat mempertingkat kesiapsiagaan dalam memberikan khidmat pengurusan jenazah yang lebih sistematik dan teratur. Inisiatif sebegini juga mampu mengurangkan beban komuniti setempat serta memperkukuh semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan anggota kariah.

ANGKASA sentiasa memberi penekanan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan tanggungjawab sosial yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat. 

Usaha ini selari dengan aspirasi untuk menjadikan koperasi sebagai wadah pembangunan sosioekonomi yang inklusif, mampan dan berteraskan nilai kebersamaan”, ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sentuhan Kasih, Encik Mohd Jannatul Firdaus Zawi berkata,  Set Khairat Kematian (Kit Jenazah) itu merupakan sumbangan para penyumbang dari Malaysia, Singapura dan Brunei yang berinfak demi kebajikan ummah. 

Sebanyak 600 kit jenazah bagi fasa pertama telah disalurkan kepada ANGKASA untuk diagihkan kepada koperasi masjid bagi manfaat komuniti setempat manakala fasa kedua melibatkan 1,400 kit, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 2,000 kit jenazah yang bakal memberi impak besar kepada masyarakat.

Sebanyak 37 koperasi kariah masjid dan agensi telah menghadiri Majlis Penyerahan Set Khairat Kematian (Kit Jenazah) yang diadakan sebagai usaha memperkasa peranan institusi komuniti dalam pengurusan kebajikan setempat.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua  Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sentuhan Kasih, Encik Mohd Nazrin Mohd Yusub.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine