Thursday, July 31, 2025
HomeKOPERASITerap Teknologi Baharu dalam Projek Ternakan Ikan Air Tawar Koperasi

Terap Teknologi Baharu dalam Projek Ternakan Ikan Air Tawar Koperasi

Teknologi baharu yang digunapakai dalam projek ternakan ikan perlu diterapkan secara menyeluruh bagi membantu mengurangkan kos penggunaan air, pekerja sekali gus meningkatkan produktiviti koperasi yang terlibat dalam aktiviti ternakan tersebut.

Demikian ditegaskan oleh Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Haji Adly Zahari sewaktu berucap dalam Majlis Peluncuran Projek Ternakan Ikan Air Tawar (Keli) dalam kanvas anjuran Koperasi Usahawan Alor Gajah Melaka (KOSAM) di tapak projek ternakan koperasi berkenaan di Alor Gajah pada 26 Julai 2025.

Katanya, sektor penternakan ikan air tawar sangat berpotensi namun mengakui bidang tersebut agak mencabar dan memerlukan sokongan teknologi moden bagi membantu mengurangkan kos dan melancarkan kerja.

“Beberapa faktor perlu diambilkira bila terlibat dalam sektor tersebut. Antaranya adalah seperti mengatasi cuaca panas melampau, menguruskan isu benih ikan, saiz kolam dan jumlah ikan juga perlu bersesuaian.”ujarnya.

Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya berkata, inisiatif KOSAM adalah satu lagi bukti bahawa koperasi mempunyai potensi besar dalam projek ternakan ikan menggunakan teknologi baharu.

“Sebanyak RM2 juta peruntukan telah disalurkan kepada 20 buah koperasi bagi menjalankan inisaitif di bawah projek Sejati Madani dengan bimbingan ANGKASA sebagai badan puncak.”ujarnya.

Justeru, hasil daripada itu pelbagai projek sedang dijalankan termasuklah projek ternakan ikan keli ini yang mampu memberi pulangan jangka panjang kepada koperasi, anggota dan komuniti setempat.

“Saya berbangga dengan inisiatif Koperasi Usahawan Alor Gajah Melaka yang mengorak langkah ke arah pembangunan ekonomi mampan melalui ternakan ikan keli dalam kanvas. “ujarnya.

Projek itu juga katanya menyokong matlamat keterjaminan makanan negara malah menggunakan teknologi ternakan moden seperti sistem kanvas, menunjukkan bagaimana koperasi boleh memanfaatkan inovasi untuk meningkatkan produktiviti. Ternakan ikan keli dengan kitaran ternakan yang singkat dan permintaan pasaran yang tinggi, adalah pilihan strategik.

Usaha ini juga adalah selari dengan visi Dasar Agromakanan (2.0) membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Beliau menyeru agar lebih banyak koperasi tampil berani mencuba sektor berimpak tinggi seperti perikanan, agro makanan, digitalisasi dan teknologi lestari.

Hadir sama ialah Setiausaha JAPERUN Rembia Melaka, Encik Radhi Hamdin mewakili Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengerusi Koperasi Usahawan Alor Gajah Melaka Berhad, Encik Erfan Mahrilar.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine