Majlis Usrah Membangun Usahawan Madani (UMUM) adalah platform strategik yang menghimpunkan usahawan, pemimpin industri dan koperasi untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.
Koperasi sebagai gerakan ekonomi rakyat turut mempunyai peranan besar dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing, melalui sokongan rangkaian perniagaan, modal insan dan jaringan pasaran yang lebih luas.
Demikian ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pada Majlis Usrah Membangun Usahawan Madani Bil. 2/2025 yang berlangsung pada 23 September 2025 di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A. Aziz, ANGKASA.
UMUM merupakan satu program anjuran Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), di bawah kepimpinan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Haji Mustaffa Kamil Ayub.
Menerusi konsep usrah yang menekankan kebersamaan, perkongsian dan sokongan, nilai ini amat dekat dengan konsep asas koperasi yang berprinsipkan tolong-menolong dan kebersamaan.
Justeru, UMUM memberi ruang kepada usahawan, malah koperasi dan anggotanya untuk bersama-sama membincangkan cabaran serta peluang, sambil menghayati nilai-nilai Malaysia Madani.
Tujuan utama UMUM adalah membangunkan usahawan agar lebih maju dan mampu bersaing di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Dalam konteks tersebut, koperasi berupaya menjadi wahana penting dalam mencapai matlamat kerana koperasi memiliki ekosistem tersendiri yang mampu menyokong pengusaha kecil dan sederhana untuk berkembang dengan lebih sistematik.
Dengan pendekatan itu juga, koperasi dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang berasaskan keuntungan, malah membawa kesejahteraan kepada komuniti.
Bagi memperkukuhkan ekosistem usahawan untuk masa hadapan, UMUM dilihat berupaya menjadikan koperasi sebagai platform sokongan dalam penyediaan modal, peluang pasaran serta bimbingan berterusan.
Beliau yakin menerusi kerjasama seperti itu, koperasi bukan sahaja dapat berfungsi sebagai entiti perniagaan, malah sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan usahawan dengan lebih baik.
Perkongsian ilmu ‘Membina Mindset dan Membangun Ekosistem Keusahawanan Negara’ telah disampaikan oleh Datuk Haji Mustaffa Kamil Ayub kepada seramai 70 orang yang terdiri daripada pelbagai agensi dan koperasi dari seluruh Negeri Selangor.
Terdahulu, beliau bercakap mengenai kemahiran pengurusan kewangan perniagaan, modal waqf keusahawanan, model kegemilangan Melaka dan strategi pembudayaan keusahawanan.
Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Dato; Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, barisan pengurusan kanan ANGKASA, wakil-wakil daripada INSKEN dan kakitangan ANGKASA.








