Thursday, June 19, 2025
HomeAKTIVITIYIA Bantu 29 Asnaf Terpilih Tunaikan Ibadah Korban

YIA Bantu 29 Asnaf Terpilih Tunaikan Ibadah Korban

Sebanyak empat ekor lembu dan dua ekor kambing biri-biri telah dikorbankan dalam Program Infaq Qurban Qaseh 2025 anjuran Yayasan Infaq ANGKASA (YIA) dengan kerjasama Persatuan Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah bertempat di Surau An-Nur, PPR Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur pada 7 Jun 2025.

Aktiviti penyembelihan dijalankan sejurus selesai solat sunat Aidiladha dan turut dihadiri oleh Pengasas YIA merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah. Beliau turut menyempurnakan agihan daging korban kepada golongan asnaf yang terlibat.

Menurutnya, program yang julung kali diadakan oleh YIA itu bertujuan memberi peluang kepada 29 orang golongan asnaf terpilih untuk melaksanakan ibadah korban — satu peluang bermakna yang sebelum ini mungkin sukar dicapai oleh golongan berkenaan. 

Sumbangan haiwan korban yang dianggarkan bernilai RM24,000 adalah hasil sumbangan daripada ANGKASA, warga kerja dan anak syarikatnya, koperasi serta masyarakat umum.

Tambah beliau, program tersebut bukan sahaja mencerminkan komitmen YIA dalam membudayakan semangat berinfaq, bahkan memperlihatkan usaha berterusan yayasan tersebut dalam membela kebajikan golongan memerlukan dan memperkukuh perpaduan ummah melalui pendekatan kebajikan yang inklusif.

“Melalui program ini, bukan peserta sahaja yang mendapat manfaat, malah komuniti setempat turut menerima impak positif, sambil kita mempromosikan peranan koperasi dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

“Insya Allah, pada tahun hadapan, kami menyasarakan penyertaan seramai 100 orang asnaf yang akan berpeluang untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Encik Mohd Shapie Idris.

Terdahulu, haiwan korban berkenaan telah diserahkan oleh Datuk Seri Dr. Abdul Fattah kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga PPR Kampung Muhibbah, Encik Norefendi Darus dalam satu majlis yang berlangsung di lokasi yang sama pada 5 Jun 2025.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIA merangkap Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIA merangkap Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Shaharudin Mohd. Sa’ad dan Penolong Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Muhammad Asyraf Jalalaluddin.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine