Tuesday, June 10, 2025
HomeAKTIVITI30 Kakitangan ANGKASA Sertai Program Kepimpinan Koperasi di Sintok

30 Kakitangan ANGKASA Sertai Program Kepimpinan Koperasi di Sintok

Oleh: Muhammad Firdaus Borhan Pengurus, Seksyen Pembangunan Perniagaan Antarabangsa /  ASEAN Co-operative Organization, Bahagian Antarabangsa ANGKASA

Seramai 30 kakitangan pengurusan ANGKASA yang mewakili Kumpulan Hubungan Strategik, Kumpulan Kewangan Korporat, Kumpulan Perniagaan Koperasi dan Kumpulan Pembangunan Koperasi telah menyertai Program Kepimpinan Koperasi (Cooperative Leadership Program – CLP) Siri 1 bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Program selama dua hari bermula pada 30 Mei 2025 itu dianjurkan bersama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), UUM, dengan memberi tumpuan kepada latihan teori dan aplikasi pengurusan projek koperasi. Latihan tersebut dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman dari CEDI.

Sepanjang program, para peserta berpeluang membincangkan secara mendalam pelaksanaan pelbagai projek koperasi yang digerakkan oleh ANGKASA, termasuk projek yang diterajui oleh Jawatankuasa ANGKASA Negeri di seluruh negara.

Antara aspek utama yang diberi penekanan ialah strategi memperkukuh sistem pemantauan projek serta kawalan aliran tunai bagi mengelakkan berlakunya isu ketirisan dan pembaziran.

Majis penutup program telah disempurnakan oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail yang mewakili Presiden ANGKASA. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memanfaatkan sepenuhnya peluang kerjasama dengan CEDI melalui program seumpama ini.

“Walaupun kita berbincang secara teori, namun tidak dapat dinafikan teori tetap penting bagi memastikan gerak kerja pelaksanaan projek-projek ini sentiasa dijalankan dengan teratur mengikut tata kelola amalan tadbir urus terbaik koperasi,” kata beliau.  

Beliau turut menggalakkan wujudnya perbincangan berterusan bagi menyelesaikan sebarang isu yang timbul dalam pelaksanaan projek.

“Dalam perniagaan, tiada isitilah tunggu dan lihat. Segala tindakan dan keputusan perlu dilakukan dengan pantas bagi memastikan kita tidak terlepas peluang-peluang berharga yang dapat kita garap dalam aspek membangun dan mengembangkan perniagaan gerakan koperasi tempatan,” katanya.

Majlis itu juga turut menyaksikan pelancaran variasi produk coklat ‘Roshe Valle’ yang merupakan hasil berterusan program penyelidikan dan pembangunan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA yang diterajui oleh  Dato’ Haji Kamarudin sendiri selaku pengerusi kumpulan. 

Hadir sama ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd. Jalil, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Shazida Jan Mohd Khan, Timbalan Pengarah I CEDI, Prof. Dr. Juhaida Abu Bakar dan Timbalan Pengarah II CEDI, Dr. Saiful Azizi.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine