ANGKASA telah mengenal pasti 1,000 kedai runcit koperasi di seluruh negara yang berpotensi menyertai program MyKasih, susulan pengumuman kerajaan bahawa pembabitan kedai runcit kecil dalam pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan ditingkatkan kepada 10,000 premis menjelang hujung tahun ini.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata tumpuan akan diberikan kepada kedai runcit koperasi di kawasan luar bandar bagi memudahkan penerima SARA mendapatkan barangan keperluan asas di premis yang lebih hampir dengan komuniti mereka.
Menurutnya, penyertaan koperasi dalam program tersebut bukan sahaja membantu melancarkan penyaluran bantuan kerajaan, malah berpotensi meningkatkan perolehan koperasi serta merancakkan ekonomi setempat.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penyampaian sumbangan juadah berbuka puasa kepada warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2026.
Terdahulu, sebanyak 220 pek juadah berbuka puasa dan 300 pek kit Ramadan diagihkan kepada warga kerja RTM sebagai tanda penghargaan ANGKASA terhadap peranan media dalam menyebarluaskan maklumat serta mempromosikan manfaat gerakan koperasi kepada masyarakat.
Hadir sama ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim, Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, Encik Md Shahri Saripan dan Timbalan Pengarah Seksyen Berita TV RTM, Dr. Haida Baba Zain.


















