ANGKASA sentiasa komited dalam memastikan gerakan koperasi bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana golongan, termasuk warga kelainan upaya.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, setiap individu mempunyai potensi dan keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial sekiranya diberikan peluang serta sokongan yang sewajarnya.
Menurut beliau, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga Jun 2025, terdapat 25 buah koperasi Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh negara dengan penyertaan anggota sebanyak 863 individu, syer/yuran sebanyak RM0.23 Juta, Aset sebanyak RM1.76 juta dan perolehan sebanyak RM70,000.
Walaupun jumlahnya masih kecil berbanding keseluruhan koperasi di Malaysia, sumbangan golongan ini dalam memperkasa ekonomi anggota dan komuniti amat signifikan dan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
“Justeru, ANGKASA sentiasa memberi perhatian kepada koperasi dalam kalangan warga OKU, termasuk menyediakan bimbingan perniagaan, khidmat nasihat tadbir urus serta membantu memperluas jaringan pasaran agar koperasi-koperasi ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan koperasi lain.
Kita mahu melihat koperasi kelainan upaya bukan sekadar bergantung kepada bantuan semata-mata, tetapi mampu menjadi entiti perniagaan yang berdaya maju, menjana pendapatan sendiri dan meningkatkan taraf hidup anggota secara berterusan”, jelas beliau.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Iftar ANGKASA Bersama Warga Koperasi Kelainan Upaya di Kuala Terengganu pada 1 Mac 2026.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut menyatakan rasa penghargaan beliau kepada ANGKASA Negeri Terengganu atas kesungguhan yang diberi bagi menjayakan majlis iftar tersebut.
“Program seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah membuktikan bahawa gerakan koperasi sentiasa mendukung nilai kebersamaan dan inklusiviti selari dengan prinsip koperasi yang menekankan keadilan sosial, kesaksamaan dan kebajikan anggota”, ujar beliau.
Hadir sama ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Tuan Zaid Abu Bakar, barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Terengganu yang diketuai Pengerusinya, Tuan Haji Mohamed Yusoff dan Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Timur (IKMa) Cawangan Kuala Terengganu, Cik Norhazilina Abdul Halim.
Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian sumbangan berupa produk keperluan harian kepada empat buah koperasi iaitu Koperasi Gerak Wawasan Terengganu Berhad, Koperasi Pertis Terengganu Berhad, Koperasi Sukan Orang Pekak Terengganu Berhad dan Koperasi Peka Malaysia Berhad.





















