Koperasi perlu terlibat sebagai antara penyumbang bermakna dalam memenuhi rantaian bekalan tempatan.
Menerusi projek yang dijalankan, hasilnya dapat dijual dengan harga yang lebih berpatutan sekali gus memberi imej yang lebih positif kepada masyarakat selain menepati prinsip serta falsafah koperasi itu sendiri.
Demikian disuarakan oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa sewaktu berucap mewakili Presiden ANGKASA dalam Majlis Peluncuran Projek Ternakan Ikan Keli Koperasi Kariah Masjid Mukim Sungai Pas Kuala Krai Berhad dan Majlis Berbuka Puasa bertempat di perkarangan Masjid Mukim Sungai Pas, Kuala Krai, Kelantan pada 3 Mac 2026.
Katanya, produk hasil tani atau ternakan sekiranya diusahakan dengan kaedah yang betul dan bersepadu, kos pengeluaran akan dapat dikurangkan sekali gus boleh menarik minat pengguna untuk membelinya.
“Pendekatan ini boleh menyumbang kepada pendapatan yang konsisten dan mengukuhkan kedudukan kewangan koperasi.
Inilah model koperasi yang ingin kita bangunkan bukan sahaja menggerakkan aktiviti ekonomi dan membuka peluang pekerjaan, malah dapat memperkukuh kesejahteraan masyarakat setempat”, ujar beliau.
Projek ternakan ikan keli Koperasi Kariah Masjid Mukim Sungai Pas Kuala Krai Berhad dijalankan hasil pembiayaan menerusi Program SejaTi MADANI dengan nilai peruntukan sebanyak RM100,000.00. Menerusi projek tersebut, sebanyak 15,000 ekor ikan keli diternak menggunakan 10 unit sangkar kolam secara intensif dengan kawalan makanan, kualiti air dan kesihatan ternakan. Hasil ternakan akan dipasarkan sebagai ikan segar kepada komuniti setempat, pasar tempatan serta pembeli borong, sekali gus menyokong rantaian bekalan makanan tempatan.
Selain itu, projek tersebut juga turut dilengkapi dengan kemudahan kolam pancing rekreasi bagi menjana pendapatan tambahan serta menarik penglibatan masyarakat dalam aktiviti koperasi.
Hadir sama di majlis tersebut ialah barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kelantan yang diketuai Pengerusinya, Encik Wan Mohamad Zain Wan Abdullah, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Mukim Sungai Pas Kuala Krai Berhad, Tuan Haji Zainuddin Rashid, Pegawai SKM Wilayah Machang, Kuala Krai dan Jeli, Encik Mohd Hafizul Ab. Hamid, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Ustaz Mohd Safian bin Abdul Rahman.
Program turut diserikan dengan sesi penyampaian sumbangan oleh ANGKASA berupa pek barangan asas dan kuih raya kepada golongan asnaf serta anak yatim sebelum diakhiri dengan majlis berbuka puasa.


















