Friday, April 3, 2026
HomeUncategorizedANGKASA Perkukuh Kerjasama Strategik bersama Kerajaan Negeri Sabah

ANGKASA Perkukuh Kerjasama Strategik bersama Kerajaan Negeri Sabah

ANGKASA telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, YB Datuk Ewon Benedick, pada 31 Mac 2026 dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara gerakan koperasi dan kerajaan negeri.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama delegasi ANGKASA, bertempat di Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET). Pertemuan tersebut menjadi platform signifikan bagi membincangkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang berpotensi merancakkan pembangunan ekonomi koperasi di Sabah.

Dalam sesi perbincangan, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul telah membentangkan cadangan penganjuran Program Mini Karnival Koperasi 2026 yang dirancang untuk dilaksanakan di enam lokasi strategik di seluruh negeri. Program tersebut bertujuan memperluas pemasaran produk koperasi, memperkukuh jaringan perniagaan serta memperkasa ekonomi komuniti setempat. Bagi menyokong pelaksanaannya, ANGKASA turut mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM150,000 di samping mencadangkan kerjasama strategik bersama pihak kementerian.

Selain itu, perbincangan turut merangkumi cadangan pengurusan dan pengoptimuman Pusat Perdagangan Sabah melalui penjenamaan semula sebagai Sabah Cooperative Trade and Business Centre. Inisiatif ini berpotensi menjadi hab pemasaran produk koperasi, pusat pameran ekonomi rakyat, inkubator usahawan serta pusat latihan pembangunan modal insan, sejajar dengan agenda pembangunan negeri Sabah Maju Jaya (SMJ).

Kerjasama strategik bersama Yayasan ANGKASA turut diketengahkan, khususnya dalam memperluas pelaksanaan program pendidikan dan pembangunan komuniti koperasi, termasuk inisiatif keusahawanan belia serta program kebajikan dan pendidikan. Dalam hal ini, kementerian dilihat berupaya memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut, YB Datuk Ewon Benedick turut berkongsi pandangan serta hala tuju kementerian bagi memastikan setiap cadangan yang dikemukakan selaras dengan dasar dan keutamaan pembangunan negeri.

Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan perbincangan berhubung tindakan susulan, termasuk cadangan penubuhan jawatankuasa kerja bersama serta penyelarasan teknikal antara kedua-dua pihak bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara efektif dan berimpak tinggi.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim serta Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Haji Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine