HomeKOPERASIPertandingan Memancing Terbuka ANGKASA Negeri Sembilan 2026 Erat Silaturahim Warga Koperasi

Pertandingan Memancing Terbuka ANGKASA Negeri Sembilan 2026 Erat Silaturahim Warga Koperasi

ANGKASA Negeri Sembilan dengan kerjasama Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) menganjurkan Pertandingan Memancing Terbuka ANGKASA Negeri Sembilan 2026 bertempat di Kolam Ikan Maahad Al-Quran & Kemahiran KOPUTRA, Kampung Sungai Raya, Jelebu, Negeri Sembilan pada 21 November 2026.

Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd Latif berkata, pertandingan tersebut bukan sahaja menjadi platform riadah, malah bertujuan memperkenalkan Maahad Al-Quran & Kemahiran KOPUTRA serta memperluas hubungan antara gerakan koperasi dengan masyarakat setempat.

Beliau turut menyatakan JKAN Negeri Sembilan menyokong usaha KOPUTRA mengembangkan perniagaan koperasi di negeri itu, termasuk dalam sektor selain Ar-Rahnu.

Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapan perasmian penutupan berkata, pertandingan memancing merupakan aktiviti yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang serta memperkukuh semangat kebersamaan.

Beliau menegaskan gerakan koperasi bukan hanya berperanan dalam bidang ekonomi, malah turut bertanggungjawab membina hubungan sosial, memupuk perpaduan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat selaras dengan Prinsip Ketujuh Koperasi iaitu Prihatin Terhadap Masyarakat.

Beliau turut berharap ANGKASA Negeri Sembilan terus memperbanyakkan program kemasyarakatan bersama koperasi dan komuniti setempat, selain menjadikan pertandingan memancing sebagai acara berterusan dalam kalendar aktiviti negeri.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak KOPUTRA, jawatankuasa penganjur, petugas dan peserta atas komitmen menjayakan program serta mengucapkan tahniah kepada para pemenang pertandingan.

Maahad Al-Quran & Kemahiran KOPUTRA dibangunkan di atas tanah seluas 14.2 ekar di Kampung Sungai Raya, Ulu Klawang, Jelebu, yang dibeli KOPUTRA pada 2018.

Institusi ini menggabungkan pendidikan tahfiz dengan latihan kemahiran seperti bekam, keusahawanan dan bidang perniagaan bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja menguasai ilmu al-Quran, malah mempunyai kemahiran untuk berdikari serta membina perniagaan sendiri selepas tamat pengajian.

Ketika ini, maahad tersebut mempunyai enam orang pelajar dan KOPUTRA merancang menambah 20 orang pelajar baharu dalam masa terdekat.

Dalam usaha menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pendidikan, riadah dan agrotourism koperasi, KOPUTRA turut merancang pembangunan kemudahan seperti kolam renang, kafe, padang bola, padang petanque, ladang kelapa sawit dan buah-buahan serta aktiviti jungle tracking.

Para pemenang Pertandingan Memancing Terbuka ANGKASA Negeri Sembilan 2026 menerima hadiah wang tunai dengan pemenang tempat pertama membawa pulang RM2,000, manakala pemenang tempat kedua menerima RM1,000 dan tempat ketiga RM500 sebagai penghargaan atas kejayaan masing-masing dalam pertandingan tersebut.

Pertandingan memancing ini merupakan antara usaha mempromosikan Maahad Tahfiz KOPUTRA kepada masyarakat dan koperasi lain agar turut menyokong pembangunan institusi berkenaan melalui sumbangan serta penghantaran pelajar, sekali gus menjadi pelaburan kebajikan yang memberi manfaat dunia dan akhirat.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine