HomeAGENSITYT Negeri Sabah Sambut Baik Inisiatif Yayasan ANGKASA dan KOPSYA Perkasa Pembangunan...

TYT Negeri Sabah Sambut Baik Inisiatif Yayasan ANGKASA dan KOPSYA Perkasa Pembangunan Komuniti Koperasi

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bersama wakil Yayasan ANGKASA dan Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) telah mengadakan kunjungan hormat mengadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Haji Aman di Istana Kota Kinabalu pada 29 Oktober 2026.

Kunjungan hormat tersebut adalah bagi memperkenalkan Yayasan ANGKASA dan KOPSYA sekali gus memohon kesudian TYT Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Haji Aman untuk mempersembahkan cadangan serta mendapatkan pandangan, nasihat dan sokongan terhadap usaha memperluas manfaat pendidikan dan memperkukuh pembangunan komuniti koperasi di Negeri Sabah.

TYT Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Haji Aman menyampaikan rasa berbesar hati bersetuju menghadiri majlis  Makan Malam Gala Perdana Koperasi Sabah 2026 bersama barisan kepimpinan negeri  selain membuka jalan serta  hebahan kepada agensi lain seperti GLC untuk bersama-sama merealisasikan sasaran sumbangan dana untuk Yayasan ANGKASA sebanyak RM500, 000.

Menurut beliau, dana yang dikumpulkan itu diharap dapat mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan peluang menamatkan pengajian selain meningkatkan komitmen sektor korporat dalam memperkasa taraf pendidikan anak Sabah.

Terdahulu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah  berkata, seramai 1,000 tetamu disasarkan daripada tempahan 10 buah meja dengan jumlah dana sebanyak RM500,000.

Katanya, inisiatif tersebut dapat membuka peluang untuk meningkatkan jumlah dana pendidikan kepada lebih ramai pelajar yang layak termasuk pelajar luar bandar selain membantu membina bakat untuk keperluan negeri dan industri.

Menurut beliau lagi, majlis makan malam itu juga dapat memperkukuh jaringan keanggotaan KOPSYA di Negeri Sabah. Koperasi yang menganggotai KOPSYA katanya akan menerima jemputan khas ke majlis tersebut tanpa perlu menempah meja.

Yayasan ANGKASA merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh ANGKASA dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan anggota dan anak-anak anggota koperasi. Antara inisiatif utama Yayasan ANGKASA adalah menyediakan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PBU), biasiswa serta melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kecemerlangan pendidikan kepada komuniti koperasi di seluruh negara.

Sepanjang penubuhannya selama 25 tahun, Yayasan ANGKASA telah berjaya membantu seramai 2,012 pelajar dengan rekod pembiayaan sebanyak RM26.6 juta.

Hadir  sama ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul, Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Haji Ahmad, Timbalan Pengerusi KOPSYA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ar-Rahnu, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman dan Ketua Pegawai Ekekutiff KOPSYA, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd Hatta.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine