HomeAKTIVITIKPM Sambut Baik Usaha Jadikan Saham Koperasi Tabungan Pendidikan

KPM Sambut Baik Usaha Jadikan Saham Koperasi Tabungan Pendidikan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik usaha menjadikan penambahan saham koperasi sebagai tabungan pendidikan sejak Tingkatan Satu bagi membentuk budaya celik kewangan, menabung secara berdisiplin dan membantu murid merancang masa depan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YB Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, menerusi inisiatif tersebut, pegangan saham dalam koperasi sekolah berpotensi memberikan pulangan kepada murid selepas menamatkan persekolahan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan ketika melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu dibuat secara sukarela mengikut kemampuan keluarga, selain disertai penerangan yang jelas mengenai risiko, dividen, hak anggota dan syarat pengeluaran saham.

“Matlamatnya ialah mendidik murid supaya bijak membuat keputusan kewangan, bukan membebankan mereka,” katanya dalam ucapan perasmian penutup program Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Kota Bharu, Kelantan pada 1 November 2026.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Tuan Mohd Nasrul Khairi.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan koperasi sekolah tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian perniagaan dan angka jualan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sumbangannya dalam membentuk sahsiah, kepimpinan, disiplin dan kemahiran pengurusan kewangan murid.

Menurut beliau, sumbangan seperti penyediaan bas sekolah, peruntukan tabung pendidikan dan bantuan kebajikan membuktikan potensi koperasi dalam memberikan manfaat kepada anggota serta warga sekolah.

Sehubungan itu, lebih banyak koperasi sekolah diharap dapat mendokumentasikan sumbangan dan hasil pembangunan sahsiah yang dilaksanakan supaya kejayaan koperasi turut dinilai berdasarkan perubahan positif terhadap murid dan komuniti.

Beliau turut menyifatkan inisiatif Business School in School (BSiS), cetusan idea Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, sebagai pendekatan yang dapat memperkukuh pendidikan keusahawanan secara praktikal menerusi pengalaman mengurus koperasi, menjalankan perniagaan dan menghasilkan idea.

Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, berdasarkan statistik 2025, Malaysia mempunyai 2,512 koperasi sekolah dengan keanggotaan seramai 2,124,445 orang.

Gerakan koperasi sekolah turut merekodkan modal syer berjumlah RM31.14 juta, aset RM548.92 juta dan perolehan RM604.31 juta.

Mengulas pencapaian perolehan koperasi sekolah, beliau berkata, sebanyak 53 koperasi berjaya mencapai perolehan RM1 juta, terdiri daripada 29 koperasi di bawah KPM dan 24 koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Saya percaya koperasi yang diuruskan dengan kompetensi yang tinggi dapat diterjemahkan kepada perolehan yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kemajuan koperasi sekolah tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah perolehan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira aspek pengurusan dan pembangunan yang lebih menyeluruh.

Dalam majlis sama, Koperasi SM Ghafar Baba Masjid Tanah Berhad dinobatkan sebagai johan AKKS 2026 Peringkat Kebangsaan, diikuti Koperasi Maktab Sabah Berhad sebagai naib johan, Koperasi SMK Mantin Berhad di tempat ketiga, manakala Koperasi SMK Gombak Setia Berhad dan Koperasi SM Vokasional Tanah Merah Berhad masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Bagi Anugerah Pelancongan Pendidikan Koperasi Sekolah (APPKS) 2026 Peringkat Kebangsaan, Koperasi SMK Batu Sepuluh Lekir Perak Berhad muncul sebagai johan, diikuti Koperasi SMK Temin Jerantut Pahang Berhad sebagai naib johan dan Koperasi SMK Permatang Tok Jaya Butterworth Berhad di tempat ketiga.

Turut berlangsung adalah pelancaran buku “Merintis Kecemerlangan Koperasi Sekolah” nukilan Haji Ahmad Marzuki Ismail dan peluncuran Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2027.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Bersama Program AKKS 2026 Peringkat Kebangsaan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias, Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Haji Azhan Anuar, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kelantan, Dr. Akram Hassan, Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Timur, Haslinda Sujak serta Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kelantan merangkap Pengerusi Bersama Program AKKS 2026, Haji Wan Mohamad Zain Wan Abdullah bersama barisan Pengerusi JKAN.

Turut hadir ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abdul Jalil.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine