ANGKASA terus memperkukuh komitmennya dalam meneroka peluang kerjasama strategik bersama pelbagai pihak bagi memperluas potensi perniagaan koperasi dan meningkatkan manfaat kepada masyarakat menerusi sesi perbincangan bersama DEGUP PLT di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 10 November 2026.
Pengurusan Kanan DEGUP PLT diketuai Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Cik Athirah Abd Sattar manakala ANGKASA pula diwakili oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Naib Presiden merangkap Pengerusi Kumpulan Perniagaan ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias.
Dalam pertemuan tersebut, Haji Zaharuddin menjelaskan bahawa ANGKASA sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama perniagaan dengan mana-mana pihak yang berpotensi memberikan nilai tambah, manfaat bersama serta peluang pembangunan yang mampan kepada gerakan koperasi.
DEGUP PLT merupakan sebuah perusahaan sosial di Malaysia yang memberi tumpuan kepada kemudahan akses rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang melalui platform digital dan penyelarasan perkhidmatan penjagaan kesihatan. DEGUP juga merupakan usaha niaga di bawah program SEEd.Lab yang dipacu oleh PETRONAS bersama Tata Consultancy Services (TCS).
Cik Athirah turut menyatakan rasa bangga dan penghargaan terhadap keterbukaan ANGKASA dalam meneroka peluang kolaborasi bersama DEGUP, khususnya bagi memperluas jangkauan perkhidmatan serta meningkatkan impak sosial kepada masyarakat.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berharap agar DEGUP PLT dapat membantu mempromosikan pusat-pusat perkhidmatan dialisis ANGKASA di seluruh Malaysia kepada masyarakat melalui pendekatan digital dan jaringan strategik yang lebih meluas.
Kerjasama yang berpotensi ini diharap dapat membuka ruang kepada sinergi baharu antara gerakan koperasi dan perusahaan sosial, sekali gus memperkukuh peranan ANGKASA dalam membangunkan ekosistem perniagaan koperasi yang berdaya saing, inklusif dan memberi manfaat kepada rakyat.




