Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan peruntukan bantuan kepada persatuan penjaja dan peniaga kecil daripada RM100,000 kepada RM1 juta bagi memperkukuh kedudukan ekonomi golongan berkenaan.
Peruntukan itu akan disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk diselaraskan bersama persatuan penjaja dan peniaga kecil di peringkat kebangsaan serta negeri.
Katanya, peningkatan jumlah peruntukan itu mengambil kira bilangan penjaja, peniaga kecil dan persatuan yang besar di seluruh negara.
Beliau turut meminta Menteri KUSKOP, YB Steven Sim Chee Keong bekerjasama dengan persatuan berkaitan bagi menilai keberkesanan bantuan menerusi perbandingan purata pendapatan peniaga dalam tempoh tiga tahun lalu dengan tahun ini.
“Penilaian itu penting bagi mengenal pasti peningkatan pendapatan serta kelemahan yang perlu ditangani supaya bantuan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 (HPPK2026) di Dataran MPKj, Stadium Kajang pada 1 November 2026.
Dalam ucapannya, beliau turut menyifatkan penjaja dan peniaga kecil sebagai wira rakyat yang memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi serta menyara kehidupan jutaan keluarga.
Beliau turut menekankan kepentingan kebersihan, kekemasan dan daya tarikan gerai serta warung bagi meningkatkan keselesaan pelanggan dan merancakkan ekonomi setempat.

























Sementara itu, YB Steven Sim dalam ucapan aluannya berkata, sektor keusahawanan menerima peruntukan sebanyak RM67.9 billion dalam Belanjawan 2027, iaitu yang terbesar dalam sejarah.
“Langkah tersebut menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bergerak lebih pantas dan berdaya saing,” jelasnya.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Dato’ Haji Zainal Abidin Dato’ Haji Abd Majid pula dalam ucapannya menyifatkan penjaja dan peniaga kecil sebagai penggerak ekonomi rakyat yang bukan sahaja menyara kehidupan keluarga, malah menyediakan peluang pekerjaan serta memenuhi keperluan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI, KUSKOP dan agensi berkaitan atas sokongan berterusan dalam memperkasa golongan berkenaan, termasuk melalui peluang pembiayaan dan pembangunan perniagaan.
HPPK2026 berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November dengan menghimpunkan lebih 300 usahawan menerusi pelbagai aktiviti jualan, pameran dan program pembangunan keusahawanan.
Bertemakan “Penjaja dan Peniaga Kecil Bestari: Pemangkin Ekonomi MADANI,” karnival itu turut menyediakan peluang kepada usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan serta pendedahan kepada teknologi dan pemasaran digital.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Turut hadir ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah Abdullah.


