HomeAKTIVITIAKKS Perkukuh Jaringan, Cetus Idea Baharu Koperasi Sekolah

AKKS Perkukuh Jaringan, Cetus Idea Baharu Koperasi Sekolah

Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) bukan sekadar medan memberikan pengiktirafan kepada pelajar dan guru pembimbing, malah menjadi platform perkongsian ilmu, pertukaran pandangan dan pengalaman bagi memperkukuh gerakan koperasi sekolah di seluruh negara.

Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Bersama Program AKKS 2026 Peringkat Kebangsaan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkata, peluang berkenaan penting untuk dimanfaatkan oleh peserta bagi mendapatkan idea dan pendekatan baharu yang boleh membantu meningkatkan pencapaian koperasi sekolah masing-masing.

Menurut beliau, usaha memperkukuh koperasi sekolah turut menyumbang kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi diri, khususnya dalam aspek kepimpinan dan keusahawanan.

Peranan tersebut selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi melahirkan pelajar yang mempunyai daya kepimpinan serta semangat keusahawanan yang tinggi.

Beliau turut menggalakkan setiap warga koperasi sekolah menilai usaha dan peranan masing-masing bagi memastikan koperasi mereka terus berkembang serta memberikan manfaat kepada warga sekolah.

Dato’ Haji Kamarudin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan AKKS 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 31 Oktober 2026.

Bertemakan “Koperasi Sekolah: Milik Bersama, Membina Kepimpinan dan Keusahawanan MADANI”, program anjuran Bahagian Pendidikan dan Perniagaan ANGKASA itu dihadiri lebih 300 peserta yang terdiri daripada guru dan murid dari koperasi sekolah seluruh negara.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kelantan merangkap Pengerusi Bersama Program AKKS 2026 Peringkat Kebangsaan, Haji Wan Mohamad Zain Abdullah berkata, program berkenaan bukan sekadar majlis penyampaian penghargaan, malah turut menyediakan ruang kepada pelajar dan guru pembimbing untuk bertukar-tukar idea serta pandangan.

Menurut beliau, AKKS diwujudkan bagi memberikan penghargaan kepada warga koperasi sekolah atas usaha serta komitmen mereka dalam menggerakkan koperasi, manakala majlis penyampaian anugerah menjadi kemuncak kepada segala usaha yang dilaksanakan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan ANGKASA Pusat atas kepercayaan yang diberikan kepada ANGKASA Negeri Kelantan untuk mengelolakan program tersebut.

Haji Wan Mohamad turut menggalakkan peserta memanfaatkan peluang sepanjang program dengan mempelajari pendekatan koperasi sekolah lain, meneliti perbezaan amalan dan pengurusan serta menjadikan pengalaman tersebut sebagai panduan untuk meningkatkan pencapaian koperasi di negeri masing-masing.

Hadir sama ialah Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias, barisan Pengerusi JKAN, Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Profesionalisme, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Haji Hafiz Ridhuan Md Daud, Ketua Penolong Pengarah (Keusahawanan), Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat, Muhammad Hafiz Ahmad Nasir, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Kecemerlangan TVET, Bahagian Pendidikan & Latihan Teknikal Vokasional, KPM, Noorzalina Zainal Abidin dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abdul Jalil.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine