Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersedia meneroka kerjasama strategik dengan ANGKASA bagi memperkasakan pembangunan bakat, memperluas latihan kemahiran serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan menerusi gerakan koperasi.
Ketua Setiausaha KESUMA, YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof berkata, gerakan koperasi yang dekat dengan masyarakat berpotensi menjadi rakan strategik kementerian dalam memperluas akses perlindungan sosial, khususnya kepada golongan pekerja yang sukar didekati melalui pendekatan konvensional.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat kepimpinan ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di pejabat beliau di Putrajaya pada 4 November 2026.
Menurut beliau, KESUMA menyasarkan lebih ramai individu mendapatkan perlindungan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), termasuk pekerja gig dan golongan suri rumah.
Beliau mengakui usaha mendapatkan penyertaan menyeluruh dalam perlindungan sosial masih berdepan cabaran, justeru kerjasama dengan gerakan koperasi dilihat mampu membantu kementerian mendekati lebih ramai anggota masyarakat.
Dalam aspek pembangunan kemahiran, beliau menggalakkan koperasi bertindak sebagai penyedia latihan dengan menawarkan program khusus yang dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Katanya, KESUMA bersedia mengiktiraf program latihan yang dilaksanakan koperasi bagi memperluas peluang anggota mendapatkan latihan dan pensijilan kemahiran.
Beliau turut menggalakkan anggota koperasi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran, KESUMA dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan kompetensi serta membuka peluang kepada mereka untuk menjadi tenaga pengajar melalui pendekatan latihan untuk jurulatih (Training of Trainers).
Dalam pada itu, beliau menyarankan koperasi meneroka peluang perniagaan dalam sektor bernilai tinggi dan pertumbuhan tinggi (High-Value, High-Growth atau HGHV), selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Beliau turut menyarankan koperasi supaya mula meneroka potensi ekonomi sempadan baharu dengan mengenal pasti produk yang mempunyai permintaan di kawasan sempadan serta menjalin kerjasama dengan koperasi di negara jiran.
Menurut beliau, pendekatan tersebut dapat membuka peluang kepada koperasi untuk meneroka model perniagaan baharu, selain memperluas pasaran produk tempatan.Koperasi juga dicadangkan membentuk rangkaian mengikut negeri bagi membantu pemasaran produk tempatan, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi masing-masing.
Beliau turut mencadangkan supaya satu majlis bersama diadakan bagi memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara KESUMA dengan ANGKASA selepas bidang dan bentuk kerjasama dikenal pasti serta dipersetujui kedua-dua pihak.
Kunjungan hormat itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik ANGKASA dan KESUMA menerusi lima tumpuan utama, iaitu memperkenalkan jaringan koperasi sebagai rakan pelaksana dasar kerajaan, meneroka kerjasama dalam pengurusan tenaga kerja, pembangunan kemahiran dan peningkatan kompetensi serta memperluas akses latihan, pensijilan dan pembiayaan kemahiran kepada gerakan koperasi.
Turut menjadi agenda ialah memperkukuh perkhidmatan MyANGKASA Dialisis menerusi sokongan kerjasama PERKESO serta mendapatkan persetujuan prinsip KESUMA bagi menyelaras pelaksanaan kerjasama melalui jabatan dan agensi berkaitan.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Halim Haji Ibrahim, Pengurus Besar MyANGKASA Amanah Berhad, Muhammad Syafiq Abdullah dan Pengurus Besar MyANGKASA Dialisis Sdn. Bhd., Afrizal Ahmad.
Turut serta ialah Timbalan Setiausaha Bahagian Cawangan Dasar Sumber Manusia, KESUMA, Cheah Hock Kooi dan Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Strategik, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Mek Eshah Awang.





















