Satu lawatan ringkas oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Perniagaan ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias telah diadakan di pejabat Koperasi Sungai Gelugor Pulau Pinang Berhad di Pulau Pinang pada 20 November 2026 bagi meninjau perniagaan Pajak Gadai Islam atau Ar-Rahnu.
Lawatan tersebut turut membuka ruang perkongsian pandangan dan pengukuhan kerjasama dalam memperkasakan aktiviti perniagaan koperasi.
Koperasi tersebut yang ditubuhkan sejak 19 Januari 1967 dan diiktiraf sebagai koperasi hartanah kini mengambil langkah berani meneroka bidang perniagaan Ar-Rahnu menerusi pembukaan cawangan pertamanya yang dijangka akan mula beroperasi pada penghujung November 2026.
Dalam lawatan tersebut, Haji Zaharuddin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Koperasi, Haji
Mohamed Omar Khan SK Mohideen Khan serta barisan kepimpinan Lembaga atas kesungguhan dan kebijaksanaan mengambil peluang meneroka perniagaan Ar-Rahnu yang berpotensi menjana pulangan di samping menjadi antara sumber pendapatan baharu kepada koperasi.
Beliau berharap koperasi akan terus berkembang maju dan merakamkan penghargaan atas penyertaan koperasi sebagai anggota serta pelabur di Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA).
Sementara itu, Haji Mohamed Omar mengucapkan terima kasih atas kehadiran Haji Zaharuddin ke premis Ar-Rahnu pertama koperasi tersebut. Beliau berharap agar ANGKASA dapat terus memberikan nasihat, bimbingan dan sokongan bagi memastikan operasi perniagaan baharu itu berjalan lancar serta mencapai kejayaan.
Lawatan itu juga turut mencerminkan komitmen ANGKASA untuk terus mendampingi gerakan koperasi, khususnya dalam mengenal pasti peluang perniagaan, memperkukuh jaringan kerjasama dan membimbing koperasi meneroka bidang perniagaan yang berpotensi tinggi demi kelestarian ekonomi koperasi





