Thursday, April 23, 2026
HomeAGENSIRangka Strategi, Susun Pelan Tindakan Projek Ternakan Ayam Koperasi

Rangka Strategi, Susun Pelan Tindakan Projek Ternakan Ayam Koperasi

Bengkel Perniagaan Berimpak Tinggi ANGKASA 2026 – 2030 (Sektor Pertanian) merupakan satu lagi usaha ANGKASA dalam merangka strategi serta menyusun semula pelan tindakan bagi penternakan, pengeluaran dan pemasaran ayam koperasi.

Inisiatif tersebut dibuat bagi menyokong sasaran pencapaian di samping merangka hala tuju sektor penternakan ayam yang lebih terancang dan mampan menjelang tahun 2030.

Demikian antara intipati ucapan Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Pembangunan Koperasi, Haji Nor Azmi Abdul Jalil pada Majlis Penutupan Bengkel Perniagaan Berimpak Tinggi ANGKASA 2026 – 2030 (Sektor Pertanian) yang diadakan pada 22 April 2026 di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, ANGKASA telah memulakan beberapa inisiatif dalam pembangunan projek ternakan ayam melalui penglibatan koperasi di beberapa negeri.

“Berdasarkan rekod semasa, terdapat 10 projek ternakan ayam pedaging koperasi melibatkan koperasi di negeri Kelantan dan Sabah dengan kapasiti maksimum sekitar 153,500 ekor bagi setiap pusingan ternakan.” ujarnya.

Selain itu, terdapat juga projek ternakan ayam kampung kacuk melibatkan 12 koperasi di beberapa negeri seperti Melaka, Perak, Kelantan dan Johor dengan kapasiti pengeluaran sekitar 22,000 ekor bagi setiap pusingan manakala bagi kategori ayam kampung asli, terdapat sekurang- kurangnya dua projek koperasi di Negeri Sembilan dengan kapasiti sekitar 1,000 ekor bagi setiap pusingan.

Menurutnya lagi, secara keseluruhannya, jumlah kapasiti ternakan ayam yang dilaksanakan melalui projek koperasi di bawah inisiatif ANGKASA ketika ini dianggarkan sekitar 176,500 ekor bagi setiap pusingan ternakan.

Justeru, bengkel ini dapat memberi kesempatan kepada kakitangan yang terlibat untuk merangka strategi pengeluaran dan pemasaran secara lebih berkesan dan pada masa yang sama, dapat merangka pelan penternakan dengan kapasiti pengeluaran sekitar 500,000 ekor ayam setahun.

Bengkel ini juga katanya sangat penting sebagai platform untuk menilai semula kedudukan semasa industri ternakan ayam koperasi selain merangka strategi baharu bagi memperkukuh pembangunan sektor itu pada masa hadapan.

Hadir sama pada majlis penutupan bengkel tersebut ialah barisan Anggota Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi yang terdiri daripada Pengerusi JKAN Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Pengerusi JKAN Kelantan, Encik Wan Mohamad Zain Wan Abdullah, Pengerusi JKAN Perak, Haji Mohamed Shafie Abd Karim, Pengerusi JKAN Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd Latif, Pengerusi JKAN Melaka, Haji Zaidan Haji Abd Hadi, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Mohd Nasiruddin Othman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak dan Pakar Rujuk Sektor Pertanian, Encik Mohd Hanizam Abd Aziz.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine