Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengemukakan empat cadangan strategik melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bil. 1/2026 bagi memperkukuh peranan koperasi dalam menangani krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.
Menterinya, YB Encik Steven Sim Chee Keong berkata, cadangan tersebut dirangka bagi memastikan koperasi terus berfungsi sebagai mekanisme penting dalam menstabilkan bekalan dan harga barangan, sekali gus menjaga kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
Mesyuarat yang dipengerusikan beliau di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 23 April 2026 itu menghimpunkan pengurusan tertinggi KUSKOP, ketua agensi serta 36 wakil pelbagai sektor termasuk kerajaan negeri, gerakan koperasi, akademik dan industri.
Antara cadangan utama ialah memperluaskan penggunaan diesel dan petrol bersubsidi kepada koperasi bagi menyokong operasi logistik, pengangkutan dan aktiviti ekonomi terutama di luar bandar. Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 300 kenderaan milik koperasi termasuk trak pikap, penjana kuasa dan bot penumpang.
Selain itu, KUSKOP mencadangkan perluasan penglibatan CoopMart sebagai rakan niaga dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membolehkan rakyat menebus barangan keperluan asas menggunakan kad pengenalan di premis koperasi. Setakat ini, hampir 150 koperasi telah berdaftar dengan sasaran penambahan 500 lagi koperasi dalam program tersebut.





















“Kita menyasarkan akan membuka lebih 2,600 kedai koperasi atau CoopMart di seluruh negara sebagai langkah membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Peluasan rangkaian CoopMart ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh peranan koperasi dalam rantaian bekalan barangan keperluan asas,” katanya.
Menurutnya, kedai koperasi berupaya menawarkan barangan pada harga lebih berpatutan kerana beroperasi berasaskan prinsip keuntungan minimum dan memberi pulangan semula kepada anggota.
“Dengan memperluaskan CoopMart, kita dapat memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan asas pada harga berpatutan, khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti berpendapatan rendah,” katanya.
Dalam usaha memperkasa modal insan, mesyuarat turut mencadangkan pelaksanaan program “Business School in School” yang memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai asas perniagaan. Program ini akan diiktiraf dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta disokong pensijilan oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Cadangan keempat melibatkan pelaksanaan koperasi sebagai pusat pengambilan barangan (self collection point) bagi platform e-dagang seperti Shopee. KUSKOP menyasarkan 100 premis koperasi menyertai inisiatif ini tahun ini dengan 25 premis telah beroperasi dan 61 lagi dalam proses saringan.
Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memeterai tiga Memorandum Persefahaman bersama Smart Stream Resources Sdn. Bhd., Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi membuka peluang koperasi menceburi sektor tenaga dan sawit termasuk pengendalian stesen minyak serta aktiviti hiliran.
SKM turut menandatangani Memorandum Perjanjian bersama INCEIF University dan ISRA Institute bagi membangunkan kerangka koperasi patuh syariah melalui inisiatif i-CORES, sekali gus memperkukuh tadbir urus koperasi selaras dengan agenda Ekonomi MADANI.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 16,468 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan 7.3 juta orang, mencatatkan aset berjumlah RM186.7 bilion dan perolehan RM81.63 bilion, membuktikan peranan signifikan sektor koperasi dalam ekonomi negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Haji Rahman Mohd Din, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, Encik Azizul Alias, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah serta wakil-wakil kerajaan negeri, wakil koperasi, wakil akademik dan industri.























