Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Damar Sari, Blok F8, Kompleks F, Putrajaya pada 14 Jun 2026.
Majlis bersejarah tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran barisan kepimpinan koperasi, anggota-anggota KOPROJAYA serta pemimpin gerakan koperasi negara. Mesyuarat agung ini menjadi platform penting bagi membentangkan pencapaian koperasi, memperkukuh tadbir urus dan merangka strategi pertumbuhan yang lebih mampan demi manfaat anggota.
Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa gerakan koperasi perlu terus menjadi instrumen penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat dan mengurangkan jurang sosioekonomi melalui penyertaan yang lebih meluas dalam sektor-sektor strategik.
Menurut beliau, “Koperasi perlu berani meneroka bidang baharu, memperkukuh daya saing serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh anggota dan masyarakat.”
Beliau turut memuji pencapaian KOPROJAYA yang berjaya mengembangkan aktiviti perniagaan secara progresif serta menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain dalam membina ekosistem ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pula menyifatkan sambutan ulang tahun ke-10 mesyuarat agung tersebut sebagai bukti kematangan KOPROJAYA dalam mengurus organisasi dan perniagaan koperasi secara profesional.
Beliau berkata, “KOPROJAYA membuktikan bahawa koperasi mampu berkembang sebagai entiti perniagaan yang berdaya maju apabila dipacu oleh kepimpinan yang berwawasan, tadbir urus yang baik dan sokongan padu anggota. ANGKASA yakin koperasi ini akan terus menjadi model kejayaan dalam gerakan koperasi negara.”
Beliau turut menyeru agar anggota terus memperkukuh semangat kebersamaan serta menyokong usaha koperasi dalam meneroka peluang ekonomi baharu yang berimpak tinggi.
Sejak penubuhannya, KOPROJAYA telah melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada anggota termasuk penyediaan kemudahan pembiayaan, program pembangunan anggota, pelaburan strategik dan pengembangan perniagaan.
Antara perniagaan utama yang diterajui koperasi ini ialah pengurusan aset dan hartanah melalui Wisma KOPROJAYA di Presint 15, pengoperasian stesen minyak Shell Presint 18, pengurusan outlet Starbucks HUKM, kerjasama kedai automasi Panas Express di beberapa lokasi strategik, serta penglibatan dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan yang menjana pulangan mampan kepada anggota.
Selain itu, KOPROJAYA turut memperluaskan jaringan perniagaannya melalui kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi dan koperasi lain dalam sektor hartanah, peruncitan, makanan dan minuman serta pengurusan fasiliti.
Pendekatan diversifikasi perniagaan yang diamalkan membolehkan koperasi terus memperkukuh kedudukan kewangannya di samping meningkatkan nilai manfaat kepada anggota.
Hadir sama ialah Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (Bersara), Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Pengerusi Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA), Encik Saiful Azhar Shaharun, Setiausaha Bahagian KUSKOP, Tuan Haji Azizul Alias, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi JKAN Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad @ Ayob serta Pengerusi JKAN Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain.















































