Kira-kira 1,200 peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia memeriahkan Program Coop Fun Walk 2026 yang berlangsung di PICCA @ Butterworth Arena hari ini sempena Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26).
Program berjalan kaki sejauh tiga kilometer anjuran ANGKASA Pulau Pinang dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu menjadi acara pembuka tirai pada hari ketiga sambutan HKN’26, sekali gus menyemarakkan semangat gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan warga koperasi dan masyarakat.
Sebelum acara bermula, peserta terlebih dahulu menyertai sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanasan badan bagi mewujudkan suasana yang lebih bertenaga dan memastikan mereka bersedia untuk menyertai program berjalan kaki.
Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, yang menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir ialah Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B); Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak; Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah; Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah; serta barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN).
Peserta memulakan acara seawal pukul 7.30 pagi dengan melalui laluan sejauh tiga kilometer di sekitar kawasan PICCA @ Butterworth Arena dalam suasana yang meriah dan penuh semangat.
Selepas menamatkan Coop Fun Walk, peserta turut menyertai sesi zumba yang diadakan bagi meneruskan aktiviti kecergasan. Program kemudian diteruskan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para peserta, sekali gus menambah kemeriahan sambutan.
Penganjuran Coop Fun Walk 2026 bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara warga koperasi, agensi kerajaan dan komuniti setempat selaras dengan aspirasi gerakan koperasi negara.
Program berkenaan merupakan antara pengisian utama Hari Koperasi Negara 2026 yang menghimpunkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan dan sumbangan gerakan koperasi dalam pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.










































