Penerbitan Sukuk Siri Ketiga KOPSYA merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kapasiti pembiayaan gerakan koperasi kredit melalui akses kepada sumber dana jangka panjang yang lebih mampan.
Langkah tersebut sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan perbankan tradisional dan meningkatkan daya saing koperasi pada masa hadapan.
Demikian menurut Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika berucap merasmikan Bengkel Pembiayaan Koperasi Kredit Berkaitan Penerbitan Sukuk Siri Ketiga yang berlangsung di Petaling Jaya pada 14 Julai 2026.
Bengkel tersebut menghimpunkan penyertaan 20 koperasi kredit anggota KOPSYA bersama wakil ANGKASA sebagai platform memperkukuh kefahaman serta menyelaras tindakan ke arah menjayakan penerbitan sukuk yang dijangka dilaksanakan pada suku keempat 2026 atau suku pertama 2027.
Menurut beliau, kejayaan KOPSYA merekodkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah penubuhannya sebanyak RM12.7 juta bagi tahun kewangan 2025 membuktikan bahawa prinsip koperasi yang dipacu tadbir urus baik, profesionalisme dan integriti mampu menghasilkan prestasi yang cemerlang.
Pencapaian tersebut turut diperkukuhkan apabila KOPSYA diiktiraf sebagai Koperasi Ke-16 Terbaik Malaysia 2026.
Beliau berkata, sejak penubuhannya, KOPSYA telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.3 bilion manakala jumlah pengeluaran pembiayaan mencecah RM874 juta kepada koperasi anggota dalam pelbagai sektor termasuk kredit, hartanah, perladangan, peruncitan dan bidang ekonomi lain. Dana yang disalurkan itu telah membantu memperkukuh aktiviti ekonomi koperasi serta meningkatkan kesejahteraan anggotanya.
Mengulas perkembangan penerbitan Sukuk Siri Ketiga, beliau memaklumkan bahawa aset pembiayaan bernilai RM116 juta telah berjaya dilengkapkan dengan data yang diperlukan bagi tujuan penilaian agensi penarafan. Selepas melalui proses penyediaan selama hampir dua tahun, data tersebut telah diserahkan kepada CIMB Investment Bank dan dikenal pasti mempunyai potensi untuk diteruskan ke peringkat seterusnya dalam proses penerbitan sukuk.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut merakamkan penghargaan kepada semua koperasi anggota yang memberikan komitmen tinggi dengan memenuhi keperluan penyediaan 28 data anggota individu serta dokumen pembiayaan yang diperlukan sepanjang proses tersebut. Beliau menyifatkan kerjasama erat yang diberikan sebagai manifestasi semangat ta’awun dan amalan “Koperasi Membantu Koperasi” yang menjadi kekuatan gerakan koperasi negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa prospek ekonomi Malaysia yang kekal positif, kadar inflasi yang terkawal serta kedudukan negara sebagai peneraju pasaran modal Islam dunia menyediakan persekitaran yang kondusif untuk penerbitan sukuk.
Pada masa sama, perkembangan pasaran kewangan Islam dan sokongan dasar kerajaan terhadap instrumen pasaran modal Islam membuka peluang lebih luas kepada KOPSYA untuk mengembangkan sumber pembiayaannya secara mampan.
Menurut beliau, penerbitan Sukuk Siri Ketiga bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan kewangan KOPSYA, malah meningkatkan keupayaannya menyediakan pembiayaan yang lebih kompetitif kepada koperasi anggota. Inisiatif tersebut juga selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dalam membina gerakan koperasi yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.
Mengakhiri ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyeru seluruh koperasi anggota agar terus memperkukuh kerjasama, kepercayaan dan semangat kebersamaan dalam menjayakan penerbitan Sukuk Siri Ketiga. Beliau yakin usaha kolektif antara KOPSYA, ANGKASA dan koperasi anggota akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan baharu gerakan koperasi kredit serta membawa manfaat yang lebih besar kepada seluruh anggota dan pembangunan ekonomi koperasi negara.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi soal jawab dan perkongsian idea dalam kalangan koperasi bagi membincangkan cabaran, cadangan penambahbaikan serta langkah-langkah memperkukuh pelaksanaan pembiayaan dan penerbitan Sukuk Siri Ketiga.
Turut hadir ialah barisan Jawatankuasa Syariah KOPSYA serta Pengurusan KOPSYA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd Hatta.

































