Kejayaan sesebuah perniagaan peruncitan tidak hanya bergantung kepada kewujudan premis atau modal semata-mata.
Malah turut memerlukan pengurusan yang lebih cekap, kawalan stok yang baik, strategi pembelian stok yang berkesan, penetapan harga yang kompetitif, rekod kewangan yang sistematik serta strategi pemasaran yang mampu menarik dan mengekalkan pelanggan.
Demikian ditegaskan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi, Dato’ Haji Kamarudin Ismail sewaktu berucap merasmikan Bengkel Pengurusan dan Pemasaran Perniagaan Peruncitan Koperasi Kariah Masjid di bawah Program Pemerkasaan Koperasi Luar Bandar (DESA) bagi 20 Koperasi Terpilih Projek Kabin bertempat di MyANGKASA Akademi & Resort, Langkawi pada 22 Ogos 2026.
Seramai 22 peserta mewakili 13 koperasi yang menerima projek kabin telah mengambil bahagian dalam program selama tiga hari bermula 21 Ogos 2026.
Beliau berharap agar setiap kabin yang dibangunkan melalui inisiatif ANGKASA itu mempunyai aktiviti ekonomi yang hidup, mempunyai pusingan tunai dan yang paling penting, mampu memberikan manfaat kepada koperasi, anggota serta komuniti setempat.
Dato’ Haji Kamarudin turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan bengkel tersebut. Menurut beliau,
Program itu bukan sekadar sebuah bengkel latihan, malah merupakan platform untuk memperkukuh keupayaan koperasi dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan peruncitan secara lebih tersusun, profesional dan berdaya saing.
“Justeru, saya berharap 20 koperasi yang terpilih dapat mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya. Gunakan bengkel ini untuk mempelajari kaedah pengurusan peruncitan yang lebih moden, memahami tingkah laku pelanggan, mengenal pasti produk yang mempunyai permintaan tinggi serta membina strategi pemasaran yang sesuai dengan kawasan dan komuniti masing-masing”, katanya.










Program turut diserikan dengan majlis perasmian Kabin Kedai Runcit Koperasi Kariah Masjid (KKM) Al-Aman Yooi Berhad di Langkawi. Perasmian kabin tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Kamarudin yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Turut sama dalam majlis tersebut ialah barisan Anggota Lembaga KKM Al-Aman Yooi Berhad yang diketuai Pengerusinya, Haji Nizar Khamis, Pengerusi Masjid Aman Yooi, Ustaz Amirul Ridwan Abdul Radzak dan Pengurus Kanan
Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Masjid ANGKASA, Mohd Safian Abd Rahman.
Di samping itu, ANGKASA turut menjayakan sesi perbincangan bersama KKM Al-Aman Yooi Berhad dan KKM Ulu Melaka berkaitan pelaksanaan dan pembangunan projek di bawah Yayasan Infaq ANGKASA.
Antara intipati perbincangan termasuklah aspek perancangan, pelaksanaan serta pemantauan projek selain mengenalpasti keperluan semasa koperasi dan tindakan susulan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.


