Kerjasama semua pihak, khususnya jawatankuasa yang terpilih dalam Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pahang awal tahun 2027 terus kuat dengan meletakkan tugas dan amanah sebagai keutamaan di samping bersedia untuk berkhidmat di semua daerah dalam negeri Pahang
Setiap jawatankuasa yang terpilih juga diminta berpegang kepada semangat ‘Pahang First’ dalam usaha untuk terus memartabatkan gerakan koperasi di negeri itu.
Demikian disuarakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu berucap merasmikan Bengkel Penggabungan ANGKASA Negeri Pahang di Temerloh, Pahang pada 26 Ogos 2026.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu mempertemukan barisan kepimpinan Anggota JKAN Pahang Timur, Pahang Barat dan Pahang Tengah yang diketuai Pengerusi JKAN masing-masing.
Objektif bengkel adalah untuk memberikan penjelasan serta menghurai sebarang bentuk permasalahan dan cadangan di samping berkongsi panduan yang berkait rapat dengan rancangan penggabungan ketiga-tiga jawatankuasa tersebut.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya turut menegaskan bahawa rancangan penggabungan itu diyakini tidak akan menjejaskan prestasi tadbir urus korporat ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi di negeri Pahang. Beliau turut optimis pengurusan kepimpinan ANGKASA Negeri Pahang akan lebih efektif dan tersusun di bawah satu pentadbiran berpusat.
Program bengkel turut dipenuhi dengan beberapa siri pembentangan yang disampaikan oleh barisan kepimpinan ANGKASA selain forum khas yang diterajui sendiri oleh Datuk Seri Dr. Abdul Fattah.
Hadir sama dalam bengkel berkenaan ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Naib-naib Presiden, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan, Haji Anuar Bulin, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan, Haji Azam Sulaiman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Perniagaan Koperasi, Puan Nurul Izatee Md. Yusoff, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran ANGKASA), Halim Haji Ibrahim dan Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Sekretariat Dan Tadbir Urus, Che Mahalim Che Hashim.


































