HomeAKTIVITITerjemah Semangat Merdeka Melalui Amanah dan Kesetiaan

Terjemah Semangat Merdeka Melalui Amanah dan Kesetiaan

Semangat Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 disemarakkan menerusi Sesi Bersama Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang berlangsung di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 28 Ogos 2026.

Sesi berkenaan menjadi wadah untuk seluruh warga kerja ANGKASA dan anak syarikat menghayati kembali erti kemerdekaan, perpaduan serta tanggungjawab dalam memperkukuh ANGKASA sebagai sebuah keluarga besar gerakan koperasi negara.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya menegaskan bahawa semangat patriotisme perlu diterjemahkan melalui cara setiap warga kerja melaksanakan amanah. “Patriotisme bukan hanya pada Jalur Gemilang yang kita kibarkan atau lagu yang kita nyanyikan. Patriotisme juga ada pada cara kita bekerja,” katanya.

Beliau turut menyeru warga ANGKASA supaya membudayakan kerja berteraskan hasil, bersikap lebih proaktif, berani mengemukakan pandangan serta mengutamakan kerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan organisasi terus relevan dan berdaya saing.

“Persoalannya bukan sekadar apa yang kita dapat daripada ANGKASA tetapi apa yang kita tinggalkan untuk ANGKASA,” katanya, sambil mengajak seluruh warga kerja meneruskan legasi yang dibina generasi terdahulu dengan penuh amanah demi masa depan ANGKASA dan gerakan koperasi negara.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyampaikan kata semangat kepada Kontinjen ANGKASA yang bakal tampil membawa nama ANGKASA dan gerakan koperasi dalam perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026.

Beliau berharap seluruh kontinjen dapat memberikan yang terbaik dengan penuh disiplin, semangat dan kebanggaan sebagai warga ANGKASA.

Sesi Bersama Presiden Bulan Ogos turut diisi dengan tayangan video aktiviti bulanan ANGKASA, penyampaian Anugerah Kakitangan Terbaik Bulanan bagi Ogos 2026, Sambutan Bulan Kebangsaan dengan pertunjukan dari Kontinjen ANGKASA yang bakal tampil dalam perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 serta kuiz interaktif Kahoot Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Bersama Kakitangan ANGKASA anjuran Pejabat Perdana Menteri Akademi Kenegaraan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine