HomeAKTIVITISektor Ketiga Diperkasa, Koperasi Turut Diberi Perhatian

Sektor Ketiga Diperkasa, Koperasi Turut Diberi Perhatian

Kerajaan akan memperkukuh pemerkasaan sektor ketiga menerusi pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk meneliti aspek definisi, pengiktirafan dan perundangan bagi memastikan sumbangan sektor itu kepada ekonomi negara dapat dioptimumkan.

Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah, berkata langkah itu penting bagi memastikan entiti yang terlibat dalam sektor ketiga, termasuk gerakan koperasi, tidak tercicir daripada peluang dan bentuk sokongan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata perkara berkenaan turut diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menerusi Teras C5 yang memberi fokus khusus kepada sektor ketiga.

“Pemerkasaan sektor ketiga bukan hanya dari segi program, tetapi aspek perundangan juga penting. Kita akan sesuaikan perkara ini dengan kajian yang sedang dijalankan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat ANGKASA yang diketuai Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Putrajaya pada 1 September 2026.

YB Dato’ Sri Mohd Shahar berkata penetapan definisi yang jelas mengenai sektor ketiga juga penting bagi menentukan entiti yang tergolong dalam sektor tersebut serta kumpulan yang sepatutnya menerima manfaat daripada dasar dan inisiatif kerajaan.

Beliau berkata masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dalam pelaksanaan bantuan sedia ada, termasuk memastikan tiada pihak yang sepatutnya menerima manfaat tercicir daripada bantuan kerajaan.

Menurutnya, sektor ketiga mempunyai nilai tambah yang besar kepada ekonomi negara, namun beberapa kekangan perlu dikenal pasti dan ditangani bagi membolehkan potensinya dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Mohd Shahar berkata gerakan koperasi mempunyai potensi untuk memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh sekuriti makanan negara, termasuk meneroka peluang dalam rantaian bekalan makanan yang masih bergantung kepada sumber makanan import.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata kunjungan hormat berkenaan diharapkan dapat diterjemahkan kepada kerjasama konkrit antara ANGKASA dengan Kementerian Ekonomi bagi memastikan kumpulan sasaran mendapat manfaat.

Beliau berkata ANGKASA bersedia membantu kerajaan dalam pelbagai agenda pembangunan negara berdasarkan kekuatan gerakan koperasi yang mempunyai jaringan luas merentasi pelbagai sektor.

“Walaupun koperasi berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), aktiviti yang diceburi koperasi sebenarnya merentasi semua kementerian.

“Oleh itu, peranan koperasi perlu dilihat secara menyeluruh kerana sumbangannya bukan hanya tertumpu kepada satu kementerian atau sektor sahaja,” katanya.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Tuan Haji Azam Haji Sulaiman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Halim Haji Ibrahim serta Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Strategik ANGKASA, Nazarudin Shah Maaris.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine