Selaras dengan aspirasi dan matlamat yang diperjuangkan, ANGKASA selalu badan apeks gerakan koperasi negara turut memainkan peranan yang penting dalam menyatukan koperasi, sama ada melalui pembangunan kepimpinan mahupun pembangunan perniagaan.
Semangat tersebut juga diselaraskan melalui aktiviti kesukanan seperti sukan petanq, kerana melalui sukan tersebut, peserta boleh mempelajari erti bekerjasama, mematuhi peraturan dan mengeratkan persahabatan, mengawal emosi selain berusaha untuk mencapai kejayaan secara berpasukan.
Demikian menurut Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 yang diadakan di Dewan Puteri Qashrina Chalet, Melaka.
“Nilai-nilai tersebut merupakan niai asas dalam gerakan koperasi dan saya melihat kejohanan ini lebih merupakan wadah untuk membina perpaduan dan persahabatan.” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi rakyat.
“Malah, dalam bajet Negeri Melaka 2026, kerajaan negeri meneruskan program pemerkasaan koperasi dengan memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi pembangunan koperasi kluster mikro dan kariah masjid.“ ujarnya lagi.
Menerusi Bajet 2026, kerajaan negeri turut menekankan usaha memperluaskan ekosistem keusahawanan melalui penubuhan sebuah Pusat Sehenti Usahawan yang menghimpunkan lebih 10 agensi.
“Pendekatan seperti itu penting supaya usahawan dan koperasi bergerak bersama-sama dengan mendapat akses kepada pembiayaan dan latihan secukupnya untuk berkembang.” jelas beliau.
Apa yang lebih penting adalah kejohanan itu dapat mengukuhkan jaringan antara gerakan koperasi negeri-negeri dengan ANGKASA dan kerajaan Negeri Melaka, berkongsi pengalaman, menguji ketahanan mental dan meningkatkan disiplin.
Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menyampaikan rasa penghargaannya kepada Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka atas komitmen mereka dalam menjayakan Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan tahun 2026.
“Kejohanan pada tahun ini, menghimpunkan seramai 240 pemain daripada seluruh negara termasuk penyertaan khas daripada Jawatankuasa ANGKASA Negeri. Daripada jumlah tersebut, seramai 192 peserta daripada 64 pasukan mengambil bahagian dalam kategori dewasa dan sekolah yang dipertandingkan dalam format triple lelaki dan perempuan.
Majlis diakhiri dengan sesi menandatangani plak perasmian dan pelancaran Logo Kejohanan Petanque Peringkat Kebangsaan 2026.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Petanque ANGKASA , Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharudin Alias, barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA, barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka yang diketuai Pengerusinya, Haji Zaidan Abd Hadi, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Hajah Mahfudzzah Mohamed Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.






















