Kontinjen Pahang Tengah muncul juara keseluruhan Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Arena Petanque Hang Jebat, Tanjung Kling, Melaka pada 6 September 2026.
Kontinjen berkenaan menerima Piala Presiden dan hamper selepas mencatat pencapaian terbaik dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan koperasi dari pelbagai negeri itu.
Bagi Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Perempuan), Koperasi SMK Bukit Mendi Berhad (Pahang Tengah) muncul juara selepas menewaskan Koperasi SMK Bukit Sagu Kuantan Berhad (Pahang Timur). Koperasi SMK Telok Air Tawar Butterworth Berhad (Pulau Pinang) menduduki tempat ketiga, manakala Koperasi SMK Pengkalan Permatang Berhad (Selangor) di tempat keempat.
Dalam Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Lelaki), Koperasi SMK Pinggan-pinggan Berhad (Sabah) dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Koperasi SMK Agama Limbang Berhad (Sarawak). Koperasi SMK Batu 17 Padang Lumat Kedah Berhad menduduki tempat ketiga, manakala Koperasi SMK Bandar Banting Berhad (Selangor) di tempat keempat.
Sementara itu, Kategori Koperasi Dewasa (Wanita) menyaksikan Koperasi Harumanis Y.A Berhad (Perlis) muncul juara selepas mengatasi Koperasi Vanila Berhad (A) (Pahang Tengah). Koperasi Polimas Kedah Berhad menduduki tempat ketiga, manakala Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Melaka Berhad di tempat keempat.
Bagi Kategori Koperasi Dewasa (Lelaki), Koperasi Ikram Negeri Sembilan Berhad muncul juara selepas menewaskan Koperasi Usahawan Ijtima’ Perlis Berhad di pentas akhir. Koperasi Kolej Komuniti Tawau Sabah Berhad menduduki tempat ketiga, manakala Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Melaka Berhad di tempat keempat.
Bagi keempat-empat kategori berkenaan, johan menerima wang tunai RM3,000, trofi, pingat dan sijil penyertaan, manakala naib johan membawa pulang RM2,000 berserta pingat dan sijil.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan RM500, berserta pingat dan sijil penyertaan.
Dalam pada itu, Kategori Jemputan ANGKASA menyaksikan ANGKASA Negeri Sarawak dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan ANGKASA Negeri Terengganu yang muncul naib johan.
ANGKASA Melaka menduduki tempat ketiga, manakala ANGKASA Negeri Sembilan di tempat keempat.
Juara kategori jemputan menerima wang tunai RM900, trofi, pingat dan sijil penyertaan, diikuti naib johan RM750, tempat ketiga RM600 dan tempat keempat RM450, masing-masing berserta pingat dan sijil penyertaan.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Dalam ucapannya, beliau berkata permainan petanque diperkenalkan oleh mantan Yang Dipertua ANGKASA, Almarhum Prof. Diraja Ungku Aziz dan mendapat kerjasama pihak sekolah sejak diperkenalkan sehingga kini.
Beliau berkata kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah berperanan sebagai platform untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan warga koperasi menerusi semangat berpasukan.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Melaka merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Kejohanan Petanque Peringkat Kebangsaan 2026, Haji Zaidan Haji Abdul Hadi merakamkan penghargaan kepada Anggota JKAN Melaka dan Ibu Pejabat ANGKASA atas usaha menyelaras serta menjayakan kejohanan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Majlis Sukan Negara, Persatuan Petanque Negeri Melaka, Malaysian Boules Sport Federation, Koperasi Usahawan Ijtima’ Perlis Berhad serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan.
Turut hadir ialah Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Ibrahim Abdullah dan Haji Zaharudin Alias, barisan Pengerusi JKAN dan Anggota JKAN, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh serta Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Anuar Bulin.











































