Koperasi MRSM Bagan Datuk Berhad menerima pengiktirafan selepas berjaya mencapai perolehan RM1 juta, sekali gus menunjukkan keupayaan koperasi sekolah tersebut memperkukuh aktiviti perniagaan serta memberi manfaat kepada warga sekolah.
Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah itu berlangsung di MRSM Bagan Datuk, Perak pada 23 September 2026 dan dirasmikan Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias yang mewakili Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Dalam ucapannya, Haji Zaharuddin berkata pencapaian berkenaan menunjukkan potensi koperasi sekolah untuk berkembang sebagai entiti perniagaan yang berdaya saing menerusi pengurusan yang baik serta sokongan warga sekolah.
Beliau berkata kejayaan Koperasi MRSM Bagan Datuk Berhad itu diharap menjadi inspirasi kepada koperasi sekolah lain di Perak untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuh tadbir urus serta mengembangkan aktiviti perniagaan demi manfaat anggota dan komuniti sekolah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Perak, Haji Mohamed Shafie Abd Karim berkata, pihaknya akan terus menyokong pembangunan koperasi sekolah di negeri itu menerusi bimbingan dan latihan bagi memperkukuh pengurusan serta keupayaan perniagaan koperasi.
Menurut beliau, usaha berkenaan selaras dengan hasrat melahirkan generasi muda yang mempunyai pengetahuan, kemahiran serta pengalaman dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
Hadir sama ialah Setiausaha JKAN Perak, Shahrul Baha Abd Rahman, barisan Anggota JKAN Perak dan Pengerusi Koperasi MRSM Bagan Datuk Berhad, Hassan Ghazalli.








