HomeAKTIVITIPresiden dan Naib Presiden ANGKASA Santuni Jemaah Masjid An-Nur Timor Leste

Presiden dan Naib Presiden ANGKASA Santuni Jemaah Masjid An-Nur Timor Leste

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkesempatan menyantuni jemaah subuh di Masjid An-Nur, yang terletak di Kampung Alor, Dili, Timor Leste pada 2 Oktober 2026.

Semasa kunjungan tersebut, Dato’ Haji Kamarudin menyatakan hasrat beliau untuk membantu komuniti islam di Timor Leste bagi membangunkan koperasi masjid di samping menjadikan masjid tersebut sebagai pilihan utama untuk projek perintis model koperasi masjid yang diterajui ANGKASA di Malaysia.

Di pusat bandar Dili, terdapat sebuah lagi masjid berdekatan dan beberapa buah surau. Secara keseluruhan, terdapat 25 buah masjid di seluruh Timor Leste.

Dianggarkan sekitar 5,000 umat islam tinggal di sekitar Kota Dili, dan seramai kira-kira 20,000 lagi di seluruh negara, menjadikan jumlah keseluruhan komuniti Islam di negara ini seramai 25,000 orang yang mewakili 1.92% daripada keseluruhan komuniti di negara tersebut.

Terdapat tiga kelompok utama dalam komuniti Islam di Timor Leste iaitu keturunan arab timor, warga Indonesia dan diaspora seperti komuniti Bugis, Makassar, Jawa dan Alor yang menetap sebagai pekerja di sana.

“Mungkin jika kita bandingkan dengan komuniti Muslim di Kemboja dan Filipina, sememangnya komuniti Muslim di Dili adalah yang terkecil. Jika kita perkenalkan mereka dengan konsep koperasi masjid, mungkin impak kepada komuniti mereka itu lebih besar kerana jumlah mereka kecil dan seperti yang kita tahu, mereka mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat dalam komuniti mereka” ujar Dato’ Hj. Kamarudin.

Secara perbandingan, jumlah umat Islam di Kemboja adalah seramai 320,000 yang mewakili 2% daripada keseluruhan jumlah rakyat Kemboja, manakala di Filipina pula jumlahnya 12 juta orang atau 11% daripada keseluruhan jumlah populasi Filipina. Perbandingan ini memperlihatkan jumlah komuniti Muslim di Kemboja adalah 60 kali lebih besar berbanding komuniti Muslim di Dili, dan komuniti muslim Filipina adalah 1,400 kali lebih besar berbanding komuniti muslim di Dili.

“Cita-cita kita adalah untuk memastikan saudara seakidah kita juga akan turut sama maju bersama-sama dengan kita, dan kita harap model koperasi masjid dan juga mungkin pada masa akan datang, latihan yang kita berikan kepada mereka dapat membantu mereka untuk terus berkembang maju, dan paling penting, dapat menaik taraf sosioekonomi mereka” ujar beliau lagi.

Masjid An-Nur Kampong Alor Dili merupakan masjid pertama, tertua dan terbesar di Timor Leste. Masjid ini dibina pada tahun 1955 dan pernah menjadi tempat perlindungan konflik sebelum Timor Leste mendapat kemerdekaan daripada kerajaan Indonesia pada tahun 2002. Masjid ini juga dianggap unik kerana menggunakan Bahasa Indonesia semasa penyampaian khutbah sementara masjid-masjid lain, majoritinya akan menggunakan Bahasa Tetun atau Portugis.

Kawasan sekitar masjid ini juga merupakan kawasan makanan halal paling mudah didapati dan amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan halal di Dili pada masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine