Sesi Libat Urus Pra-Mesyuarat ANGKASA Negeri (MAN) 2027 diadakan secara hibrid antara Anggota Lembaga ANGKASA Dan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) mengikut zon yang terdiri daripada Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan dan Sabah dan Sarawak.
Zon Utara yang terdiri daripada empat buah negeri iaitu negeri Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah mendahului zon yang lain untuk sesi tersebut yang bertempat di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 5 Oktober 2026.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sesi tersebut merupakan satu proses penting untuk memastikan apa yang akan dibawa ke hadapan perwakilan nanti, benar-benar kukuh dari segi fakta, jelas dari segi pencapaian dan mempunyai hala tuju yang boleh dipertanggungjawabkan.
Laporan perlulah berdasarkan data dan bukti yang boleh disemak, dibentangkan dengan pencapaian sebenar koperasi di negeri masing-masing. Ini kerana dalam MAN, perwakilan akan menilai serta mereka berhak mendapatkan gambaran yang jelas tentang prestasi negeri masing-masing.
Sesi Libat Urus diadakan untuk menyampaikan Taklimat Pelaksanaan Mesyuarat ANGKASA Negeri 2027, laporan aktiviti JKAN bagi tempoh tiga tahun iaitu tahun 2024 hingga tahun 2026 serta pembentangan cadangan pelan tindakan Pembangunan dan Perniagaan JKAN bagi tempoh tiga tahun iaitu tahun 2027 hingga 2029.



















