HomeANTARABANGSAModel Tadbir Urus dan Kerangka Regulasi Koperasi Malaysia Boleh Jadi Rujukan Timor-Leste

Model Tadbir Urus dan Kerangka Regulasi Koperasi Malaysia Boleh Jadi Rujukan Timor-Leste

Pengalaman Malaysia dalam membangunkan kerangka perundangan, kawal selia dan tadbir urus koperasi berpotensi menjadi rujukan serta sumber perkongsian pengetahuan kepada Timor-Leste dalam usaha memperkukuh gerakan koperasi negara itu.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Haji Efendee O. P. Andu, ketika menyampaikan pandangan dalam Sesi Pleno III: “Community-Based Cooperative Champions and Socio-Economic Transformation” sempena Dili Regional Cooperative Conference and Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD 2026) di Dili, Timor-Leste pada 3 Oktober 2026.

Menurut beliau, pembangunan koperasi di Malaysia disokong oleh ekosistem yang melibatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai peneraju dasar dan penyelaras di peringkat kerajaan, SKM dalam aspek kawal selia dan pembangunan koperasi berdasarkan mandat statutori, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dalam pendidikan dan pembangunan kapasiti serta ANGKASA sebagai badan puncak yang mewakili gerakan koperasi.

Malaysia kini mempunyai 16,468 koperasi dengan kira-kira 7.3 juta anggota, menunjukkan skala dan kepelbagaian gerakan koperasi yang merangkumi pelbagai fungsi ekonomi serta kumpulan sasaran.

Dalam pembentangannya, Haji Efendee menjelaskan bahawa rangka kawal selia koperasi di Malaysia berteraskan Akta Koperasi 1993, Peraturan-Peraturan Koperasi 2010, Garis Panduan SKM serta Undang-Undang Kecil berdaftar koperasi.

Antara garis panduan yang diberi penekanan ialah Garis Panduan Pelaporan Penyata Kewangan Koperasi (GP23) dan Garis Panduan Tadbir Urus Koperasi (GP27). GP23 yang dipinda pada 2020 memberi penekanan kepada amalan pelaporan kewangan yang telus, konsisten dan boleh dipercayai, manakala GP27 yang ditambah baik pada 3 November 2025 memperkukuh amalan tadbir urus dan pengurusan koperasi selaras dengan prinsip koperasi.

“Kerangka kawal selia bukan hanya berkaitan pematuhan, tetapi turut mewujudkan asas kepada koperasi untuk beroperasi secara bertanggungjawab, melindungi kepentingan anggota serta berkembang sebagai organisasi berasaskan komuniti,” jelas beliau.

Menurut beliau, GP27 memberi penekanan kepada beberapa elemen utama, termasuk tanggungjawab dan pengawasan Lembaga, pemisahan yang jelas antara fungsi tadbir urus dan pengurusan, ketelusan dan akauntabiliti, pengurusan risiko serta kawalan dalaman dan komunikasi dengan anggota dan pihak berkepentingan.

Pendekatan kawal selia tersebut turut membolehkan model koperasi berasaskan komuniti berkembang dalam pelbagai bentuk, antaranya koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid yang menunjukkan bagaimana koperasi boleh berfungsi sebagai instrumen ekonomi dan sosial di peringkat komuniti.

Berdasarkan statistik koperasi Malaysia 2025 yang dibentangkan, terdapat 2,512 koperasi sekolah dengan 2.12 juta anggota, manakala koperasi masjid berjumlah 622 buah pada tahun sama. Koperasi masjid turut merekodkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 7.03 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Haji Efendee turut menjelaskan bahawa kepelbagaian gerakan koperasi Malaysia tidak terhad kepada sektor tertentu, sebaliknya merangkumi pelbagai fungsi ekonomi termasuk perbankan, kredit, pertanian, perumahan, perindustrian, pengguna, pembinaan, pengangkutan dan perkhidmatan, selain melibatkan pelbagai kumpulan sasaran masyarakat.

Dalam konteks perkongsian dengan Timor-Leste, beliau menekankan bahawa pengalaman Malaysia boleh dijadikan rujukan untuk diteliti dan disesuaikan mengikut kerangka undang-undang, institusi, keperluan pentadbiran serta persekitaran koperasi tempatan.

Pendekatan tersebut selaras dengan prinsip perkongsian pengetahuan dan pembelajaran bersama yang memberi ruang kepada setiap negara untuk membangunkan sistem koperasi berdasarkan keperluan dan keutamaan masing-masing.

Sesi pleno berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, dan turut disertai Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT), Haji Mazri Mahmood, Timbalan Pengarah Bahagian Digitalisasi, Kementerian Koperasi Indonesia, Yth. Bapak Riza Azmi serta Ketua Komunikasi dan Pembangunan Keanggotaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Shivali Sarna.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine