Koperasi perlu mempunyai perancangan strategik yang jelas serta berani menggembleng aset hartanah bagi memastikan kelangsungan dan daya saing dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Perkara tersebut ditekankan Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias dalam Sesi Dialog Pembangunan Hartanah Koperasi yang berlangsung di Dewan Koperasi Sungei Marong Agro Farm Samarahan Berhad, Kota Samarahan, Sarawak pada 5 Oktober 2026.
Sesi berkenaan menghimpunkan 10 koperasi dari Bahagian Samarahan dan dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sarawak, Wan Azizan Wan Zainal Abidin. Turut menyertai sesi tersebut ialah Pengerusi Koperasi Sungei Marong Agro Farm Berhad, Haji Morshidi Ramli.
Dalam sesi berkenaan, Haji Zaharuddin menegaskan bahawa koperasi yang mahu berkembang perlu menetapkan visi dan misi secara sistematik setiap tahun.
Beliau turut menggariskan tiga elemen utama yang penting dalam memastikan kelestarian koperasi, iaitu minat dan kejelasan hala tuju, penguasaan ilmu dan kemahiran serta kesungguhan dan penandaarasan.
Menurut beliau, pengurusan koperasi perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan yang diceburi serta menterjemahkannya kepada hala tuju yang jelas, khususnya dari segi produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pasaran.
Dalam aspek ilmu dan kemahiran pula, katanya, pengetahuan berkaitan perniagaan dan pengurusan kewangan perlu diperkukuh secara berterusan menerusi pembelajaran dan latihan.
Beliau turut menyarankan koperasi melakukan penandaarasan dengan mengunjungi koperasi yang berjaya bagi mempelajari amalan dan pendekatan yang boleh disesuaikan dengan keperluan koperasi. Beliau turut mencadangkan karya Rahsia Perniagaan Orang Cina oleh Ann Wan Seng sebagai antara bahan rujukan berkaitan strategi perniagaan.
Menyentuh pembangunan hartanah koperasi, Haji Zaharuddin mengingatkan peserta supaya menetapkan tujuan dan fokus yang jelas sebelum memulakan sebarang projek.
Bagi koperasi yang memilih sektor pertanian, beliau menekankan keperluan meneliti kehendak pasaran semasa bagi memastikan projek yang dilaksanakan mempunyai potensi pasaran.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara cabaran dalaman yang sering mengekang perkembangan koperasi ialah sikap sesetengah Ahli Lembaga Koperasi (ALK), termasuk perebutan jawatan, sikap berlepas tangan serta kebimbangan untuk mengambil risiko yang terhitung.
Sehubungan itu, beliau menyeru 10 koperasi berkenaan mempertimbangkan pembentukan konsortium bagi membangunkan tanah, khususnya untuk aktiviti pertanian dan ekopelancongan berorientasikan permintaan pengguna supaya hasil yang diusahakan mampu memberikan pulangan optimum.
Beliau turut mencadangkan konsortium berkenaan, dengan kerjasama ANGKASA, mengusahakan sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian koperasi untuk dipasarkan kepada masyarakat serta pembekal produk hiliran.







