Usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET terus diperkasa menerusi pelancaran program ‘Industry on Campus’ (IOC) hasil kerjasama Kolej Komuniti Kota Tinggi dengan MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. (MTTSB), yang memberi pendedahan lebih dekat kepada pelajar terhadap realiti sebenar industri pelancongan.
Inisiatif itu dilihat sebagai satu langkah strategik merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan dunia pekerjaan dengan membawa elemen industri secara terus ke dalam ekosistem pembelajaran kampus.
Majlis pelancaran IOC disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shahiza Dato’ Ahmad Zainuddin di Kota Tinggi, Johor pada 8 Oktober 2026.
Turut hadir ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MTTSB, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman; Pengarah Kolej Komuniti Kota Tinggi, Puan Sharini Zakaria; barisan pengurusan kolej, pensyarah, wakil industri dan pelajar.
Antara pengisian utama program ialah sesi Tourism Talk bertajuk “Navigasi Kerjaya Pelancongan: Cabaran, Peluang & Keterampilan” yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman.
Dalam sesi berkenaan, beliau menegaskan bahawa graduan pelancongan selain bergantung kepada kelayakan akademik, mereka perlu menguasai kemahiran komunikasi, teknologi digital, kecerdasan buatan, pengurusan pelanggan, penyelesaian masalah dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri.
Menurut beliau, industri pelancongan hari ini adalah berkaitan pakej lawatan atau destinasi, malah merupakan sebuah ekosistem besar yang merangkumi hospitaliti, pengangkutan, acara, pengurusan destinasi, pemasaran digital, keusahawanan, umrah, pelancongan korporat dan pelbagai perkhidmatan bernilai tinggi.
“Pelajar perlu melihat bidang ini dengan perspektif yang lebih luas seperti bertanya ‘masalah apa dalam industri yang saya boleh selesaikan’.
Majikan hari ini melihat sijil, dan mencari graduan yang mempunyai kompetensi, sikap profesional, kebolehan berkomunikasi dan mampu memberi nilai kepada organisasi,” ujarnya.
Beliau turut berkata, ekosistem koperasi menawarkan satu dimensi unik kepada industri pelancongan kerana ia mempunyai jaringan komuniti, institusi dan pasaran yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan produk, pemasaran serta keusahawanan dalam sektor itu.
Katanya, kerjasama dengan MTTSB melalui platform IOC boleh menjadi jambatan kepada pelajar untuk memahami kehendak sebenar industri sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Program itu turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat Kerjasama atau Letter of Intent (LOI) antara Kolej Komuniti Kota Tinggi dan MTTSB.
Dato’ Haji Kamarudin Selaku Pengerusi mewakili MTTSB dalam majlis menandatangani dokumen berkenaan sebagai simbol komitmen untuk memperkukuh hubungan strategik antara kolej dan industri.
Turut diadakan penyerahan surat lantikan Rakan Kolaborasi Strategik Kolej Komuniti Kota Tinggi kepada wakil industri serta surat lantikan Dato’ Dr. Haji Nasiruddin sebagai tenaga kepakaran pengajar bagi program IOC.
Program turut diserikan dengan lawatan ke Bilik Simulasi IOC yang memberi gambaran kepada tetamu mengenai pendekatan latihan, pembelajaran praktikal serta demonstrasi yang dikendalikan oleh pelajar.
Kerjasama antara Kolej Komuniti Kota Tinggi dan MTTSB itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dari segi latihan industri, pendedahan kerjaya, pembangunan kemahiran, perkongsian kepakaran dan jaringan profesional.
Program IOC juga dilihat mampu menjadi model kerjasama lebih progresif antara institusi TVET dan industri, khususnya dalam memastikan graduan memiliki kelayakan dan benar-benar bersedia memenuhi ekspektasi majikan.






