HomeAKTIVITIBantu Pelajar Sambung Pengajian: Koperasi Sekolah Berpotensi Perluas Peranan

Bantu Pelajar Sambung Pengajian: Koperasi Sekolah Berpotensi Perluas Peranan

Koperasi sekolah berpotensi memperluas peranannya dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian selepas tamat sekolah menengah, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, menerusi penyediaan biasiswa dan bentuk bantuan pendidikan lain.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, ANGKASA boleh meneroka peluang untuk memperkukuh peranan koperasi sekolah dalam membuka laluan kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memastikan kekangan kewangan tidak menghalang hasrat mereka untuk menyambung pelajaran.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat kepimpinan ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya pada 21 Oktober 2026.

Dalam kunjungan itu, ANGKASA turut membentangkan lima isu keutamaan pembangunan koperasi sekolah, termasuk keperluan menangani beban tugas guru yang menguruskan koperasi serta meneroka kelonggaran bersesuaian bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan lebih berkesan.

Mengulas perkara berkenaan, Datuk Dr. Mohd Azam berkata, koperasi sekolah juga berpotensi membantu memenuhi keperluan tenaga kerja dan pentadbiran sekolah, termasuk meneroka kemungkinan menyediakan pembantu bagi meringankan beban tugas guru.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa autonomi koperasi sekolah perlu diperkukuh bagi memberikan ruang kepada koperasi mengembangkan peranan masing-masing berdasarkan keperluan dan kemampuan.

Bagi menyokong usaha tersebut, pelan strategik koperasi sekolah boleh dibangunkan untuk memperincikan hala tuju pembangunan serta memperluas peranannya, bukan sahaja dalam aktiviti perniagaan, malah sebagai platform yang menyokong pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti sekolah.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyambut baik pandangan dan cadangan berkenaan, khususnya usaha memperluas peranan koperasi sekolah agar dapat memberikan manfaat lebih besar kepada pelajar dan warga sekolah.

Menurut beliau, koperasi sekolah merupakan platform untuk memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar, selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan serta membentuk generasi muda yang berdaya saing.

Beliau berkata, potensi koperasi sekolah untuk berkembang sebagai entiti perniagaan yang berdaya maju turut ditunjukkan apabila sebanyak 52 koperasi sekolah mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta sehingga kini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, usaha memperkukuh koperasi sekolah turut selaras dengan Resolusi Utama Bil. 3 Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 yang mengiktiraf kurikulum koperasi dalam sistem pendidikan negara ke arah memasyarakatkan koperasi.

Resolusi berkenaan antara lain menekankan usaha membudayakan koperasi dalam kalangan pelajar, memperkasakan pendidikan keusahawanan di sekolah, membentuk kepimpinan dan jati diri murid, meningkatkan literasi kewangan serta kemahiran pengurusan, selain melahirkan generasi pelapis gerakan koperasi.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Encik Ithnin Mahadi serta Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM, Datin Rosliza Rosli.

Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman, Pengerusi Koperasi Perdagangan Perindustrian Malaysia Berhad, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran ANGKASA), Halim Haji Ibrahim serta Pengurus Seksyen Pendidikan ANGKASA, Dr. Abu Bakar Busmah.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine