HomeAGENSIBengkel Pencapaian Prestasi 2026 dan Pelan Perniagaan ANGKASA 2027 Serlah Cabaran dan...

Bengkel Pencapaian Prestasi 2026 dan Pelan Perniagaan ANGKASA 2027 Serlah Cabaran dan Perancangan Masa Depan

Bengkel Pencapaian Prestasi 2026 dan Pelan Perniagaan ANGKASA 2027 telah berjaya merungkai cabaran serta mengetengahkan perancangan seperti yang disasarkan.

Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 21 Oktober 2026.

Beliau dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya  Bahagian Pengurusan Strategik yang menganjurkan program selama enam hari itu dengan jayanya.

“Pada 12 Oktober lalu, saya menegaskan bahawa kejayaan ANGKASA tidak hanya diukur melalui bilangan program yang dilaksanakan malah perlu menilai prestasi sendiri dengan jujur, mengenal pasti kelemahan dan bertindak membetulkannya. “ujarnya.

Berdasarkan rumusan yang dibentangkan, bengkel itu telah memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kedudukan yang sebenar. Pencapaian keseluruhan Sasaran Strategik ANGKASA sehingga Ogos 2026 dilaporkan sekitar 64 peratus. Namun, gambaran itu tidak seragam.

Bengkel tersebut meninggalkan penegasan yang mesti dipegang bersama iaitu sasaran mesti dibina atas kesiapan yang sebenar, tindakan penambahbaikan mesti menjawab punca masalah (root cause), prestasi perniagaan mesti dibaca secara menyeluruh,  pelaporan mesti beralih daripada output kepada outcome dan akauntabiliti serta sempadan peranan pembangunan dengan perniagaan mesti jelas.

Menurutnya lagi, fungsi pembangunan bertanggungjawab membina keupayaan koperasi serta menyediakan produk dan projek melalui bimbingan, ujian rintis dan inkubasi. Fungsi perniagaan pula memimpin pengkomersilan, termasuk pemasaran, jualan dan pengurusan keuntungan serta aliran tunai.

Setiap projek perlu mempunyai seorang pemilik utama. Penyerahan kepada perniagaan, anak syarikat, negeri atau koperasi hendaklah berasaskan kesiapan operasi, bukti permintaan pasaran dan daya maju kewangan.

“Data juga mesti seragam. Perlu dibezakan koperasi yang berdaftar dalam rangkaian, outlet yang beroperasi dan outlet yang aktif bertransaksi; begitu juga koperasi yang baharu ditubuhkan dengan koperasi yang baharu menjadi anggota ANGKASA. “ ujarnya.

Tahun 2027 merupakan tahun kedua pelaksanaan PESAN50 Fasa Kedua bagi tempoh 2026 hingga 2030. Setiap pelan perniagaan mesti menunjukkan sumbangannya kepada sasaran transformasi perolehan 60:40 menjelang 2030, iaitu 60 peratus daripada aktiviti perniagaan komersial dan 40 peratus daripada sumber potongan gaji.

Oleh itu, setiap Kumpulan, Bahagian dan Anak Syarikat mesti menjelaskan dari mana hasil akan datang: produk, pelanggan sasaran, peluang jualan, keperluan modal kerja dan tarikh hasil dijangka diperoleh.

Dalam menguruskan portfolio perniagaan, mestilah berani membuat keputusan berasaskan fakta. Projek yang berdaya maju perlu diperluas. Projek yang bermasalah perlu dipulihkan dengan tempoh, had tambahan sumber dan pencapaian minimum yang jelas.

Projek yang tidak berdaya maju pula perlu dipertimbangkan untuk diubah model, diserahkan kepada entiti yang lebih sesuai atau ditamatkan melalui proses yang teratur, dengan mengambil kira daya maju masa hadapan, risiko dan manfaat kepada gerakan koperasi.

Bagi Anak Syarikat, ukuran kejayaan bukan sekadar keuntungan yang dilaporkan malah sumbangan yang benar-benar diterima oleh ANGKASA melalui dividen dan bayaran lain

Bagi Kumpulan Perniagaan Koperasi, struktur baharu 2027 mesti disusuli ketegasan pelaksanaan. Penggabungan BA100 dan PJRM dalam satu pelan bagi mengelakkan pengiraan berganda ialah langkah yang saya sokong.

Namun, kita tidak boleh bergantung kepada satu bentuk sokongan sahaja. Sekiranya sokongan program berubah, ANGKASA mesti sudah mempunyai rangkaian pembekal, pelanggan dan outlet yang mampu menjana jualan secara berterusan.

Pendigitalan mesti dinilai melalui manfaat yang sebenar. Bagi ERP, ukurannya ialah pengurangan kemasukan data berulang, ketepatan rekod dan kecepatan menyediakan laporan. Bagi JimatBiz, ukurannya ialah bilangan pembekal aktif, pembeli berulang dan nilai transaksi yang berjaya melalui sistem.

“Saya menyokong cadangan membangunkan papan pemuka eksekutif yang membolehkan Pengurusan Tertinggi melihat prestasi, kedudukan kewangan, risiko dan peluang pada satu paparan. “ ujar beliau.

Dalam aspek modal insan, latihan mesti berpandukan jurang kompetensi dalam tugasan sebenar. Kita memerlukan warga ANGKASA yang memahami pelanggan, menilai kos, menguruskan projek dan menggunakan data, selaras dengan pemikiran perniagaan atau business mindset yang saya tekankan pada hari perasmian. Kesan latihan hendaklah diukur melalui mutu kerja, produktiviti dan penggunaan kemahiran tersebut.

Penyelarasan bersama Jawatankuasa ANGKASA Negeri membuktikan bahawa pelan di Ibu Pejabat hanya bermakna apabila ia dapat dilaksanakan di lapangan. ANGKASA Negeri mempunyai akses kepada koperasi dan memahami potensi ekonomi setempat.

Oleh itu, pelan pusat dan negeri mesti dibangunkan secara bersepadu. Cadangan Strategic Business Unit atau SBU di peringkat negeri perlu diperincikan berasaskan pasaran yang sebenar, dengan mandat perniagaan, projek utama, sasaran hasil dan pegawai bertanggungjawab yang jelas.

Keupayaan ANGKASA Negeri sebagai pemudah cara kepada koperasi perlu diperkukuh. Keperluan kakitangan hendaklah dikaji berdasarkan peranan, beban tugas, kemahiran dan kaitannya dengan program yang dilaksanakan, bukan sekadar permintaan menambah jawatan.

Dana KWAPb merupakan faktor kejayaan penting bagi usaha pembangunan koperasi. Setiap permohonan mesti disokong kertas cadangan, justifikasi manfaat kepada koperasi dan keperluan sumber yang jelas.

Pelan juga mesti mempunyai pilihan pelaksanaan selain penggunaan dana tersebut mesti telus dan manfaatnya dapat dirasai oleh koperasi di negeri-negeri.

Peluang baharu juga perlu diteroka dengan teliti. Selaras dengan RMK-13 dan Agenda Belanjawan 2027, terdapat ruang untuk memperluas perkhidmatan profesional kepada koperasi dan syarikat, termasuk khidmat nasihat undang-undang, pematuhan syariah dan usaha mendapatkan pengiktirafan ANGKASA sebagai firma pengauditan.

Peluang dana dan program kerajaan seperti Sejati MADANI pula mesti diterjemahkan kepada projek yang mempunyai asas pasaran dan mematuhi syarat permohonan.

Menurutnya lagi, hala tuju ini selari dengan semangat Deklarasi Panama 2026 yang mengingatkan bahawa koperasi adalah model perniagaan selain memupuk keadilan dan kemakmuran bersama, serta dengan Prinsip Koperasi Ketujuh iaitu Mengambil Berat Terhadap Masyarakat.

Pertumbuhan perniagaan ANGKASA juga mesti membuka ruang kepada koperasi sebagai pengeluar, pembekal, pengedar dan rakan pasaran.

“Saya mahu pengurusan memberi tumpuan kepada lima hasil kerja iaitu satu set data prestasi dan kewangan yang disahkan dan diselaraskan, bersama kamus KPI yang seragam antara pusat dan negeri;  pelan pemulihan bagi jurang pencapaian 2026 yang menyatakan punca, tindakan, pemilik, tarikh siap dan kesan kewangan, dalam tempoh yang ditetapkan, dengan keutamaan kepada pelan yang paling ketinggalan;

Pelan Perniagaan ANGKASA 2027 yang dimuktamadkan, lengkap dengan sasaran, KPI, bajet dan penjajaran kepada PESAN50 Pelan Jangka Sederhana, Rancangan ANGKASA (2026-2030), DaKOM2030, DigiKOP2030 dan RMKe-13; senarai projek berimpak tinggi dan peluang hasil 2027 yang menyokong sasaran 60:40; dan tindakan susulan yang membezakan keputusan, arahan dan cadangan, dengan pemilik, tarikh dan bukti penyelesaian bagi setiap perkara.

Bahagian Pengurusan Strategik bersama pemilik pelan akan menyelaras pelaporan, manakala ketua fungsi, pengurusan negeri dan pengurusan anak syarikat memikul tanggungjawab pelaksanaan.

Hasil hendaklah dipantau setiap bulan dan manfaat kepada koperasi setiap suku tahun, dengan hanya isu kritikal dan perkara yang memerlukan keputusan dibawa kepada Pengurusan Tertinggi.

Semakan pertengahan penggal pada tahun 2027, seperti yang saya nyatakan tahun lepas, akan menjadi asas untuk menilai sama ada kita masih berada di landasan yang betul menuju 2030.

Kepimpinan pada setiap peringkat perlu bersedia membuat keputusan dan bertanggungjawab terhadap hasilnya. Berikan sokongan apabila terdapat kekangan yang munasabah, namun pastikan tindakan yang dipersetujui benar-benar dilaksanakan.

“Bengkel ini telah memberikan peta yang jelas. Tugas kita sekarang ialah mengikutinya: rancang dengan jujur, laksana dengan disiplin dan ukur dengan bukti. Saya mahu semua kembali dengan laporan kemajuan yang membuktikan bahawa apa yang dipersetujui hari ini telah menjadi pencapaian pada hari esok.” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine